Skip to main content

6 Ogos Larian Saya Sayang BM, Exco puji NGO bantu jana kewangan sekolah


 

CHONG Eng berucap dalam sidang media mempromosi acara Larian Saya Sayang BM 2017, di SMJK Jit Sin Sungai Rambai pada pagi tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD 


PADANG LALANG - Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng pagi ini mengumumkan peruntukan sejumlah RM15,000 demi menjayakan acara Larian Saya Sayang BM 2017 yang dijadualkan pada 6 Ogos nanti.


Ketika mengumumkan perkara itu, beliau memuji usaha penganjur menjana sumber kewangan untuk membantu keperluan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin Sungai Rambai, yang membabitkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


"Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai penglibatan NGO menganjurkan acara sukan sebegini di kalangan komuniti setempat.


"Kalau kita (penganjur) boleh bergabung dengan acara 'I Love Penang' yang dianjurkan di bahagian Pulau dan Seberang Perai baru-baru ini, kita mungkin boleh membawa acara 'I Love Penang' ke Bukit Mertajam kelak," jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam sidang media promosi acara tersebut di sekolah persendirian berkenaan di sini.


Sebelum itu, Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin, Lim Thiam Aun merakamkan penghargaan kepada penganjur acara, Persatuan Bekas Murid-Murid Sekolah Jit Sin; dengan sokongan Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP); dan. Jabatan pendidikan Negeri (JPN).


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, antaranya Creative Advanced Polymer Engineering (CAPE), London Choco Roll, beras cap 55, kasut jenama Pallas, kopi bergerak Coffee Talk, syarikak pengeluar aksesori rumah KSK dan restoran Starbucks.


Turut berucap, Pengerusi Persatuan Bekas Murid-Murid Sekolah Jit Sin, Dato' Khor Lee Nam.


Difahamkan, yuran pendaftaran bagi acara larian 13 kilometer (km) serendah RM40; RM30 untuk penyertaan larian ria kategori terbuka sejauh 6 km; dan RM15 untuk larian ria 6 km kategori pelajar sahaja.


"Tiada hadiah berupa wang kerana ini acara yang bukan berorientasikan keuntungan, tetapi peserta akan diberikan baju T micro dry, sijil penyertaan dan medal unik.


"Acara pelepasan peserta pertandingan larian 13 km dari SMJK Jit Sin seawal jam 6.30 pagi; diikuti larian ria 6 km pada jam 7.00 pagi.


"Larian 6 km dari SMJK Jit Sin akan melalui Jalan Binjai, Jalan Song Ban Keng, Tebing Sungai Juru, Jalan Padang Lalang, Jalan Nangka, Jalan Chian Heng Kai, Lintang Bayu Mutiara sebelum kembali ke garisan penamat di SMJK Jit Sin.


"Larian 13 km pula akan melalui kawasan yang lebih menarik sekitar Parlimen Bukit Mertajam, (iaitu dari) SMJK Jit Sin ke Jalan Binjai, Jalan Song Ban Keng, Tebing Sungai Juru, Jalan Muthi Palaniappan, Sawah Padi, Jalan Perda Barat, Jalan Perda Utama, Jalan Nangka, Jalan Chian Heng Kai, Lintang Bayu Mutiara dan ke kembali ke garisan penamat di SMJK Jit Sin juga," ujar wakil penganjur sambil menjangkakan acara penutup dijangka bermula jam 9.30 pagi.


Info lanjut, emelkan ke helpdesk@howei.com atau laman sosial www.facebook/iloveBMrun2017/; serta layari event.howei.com/event/i-love-bm-run-2017 untuk urusan daftar penyertaan secara atas talian.