Skip to main content

RM515,000 projek cat semula ceriakan rumah pangsa berusia 33 tahun di Seberang Jaya



Oleh: ZAINULFAQAR FAQAR

SEBERANG JAYA
- Dibina pada tahun 1984, kesemua 11 blok rumah pangsa berusia 33 tahun di Seberang Jaya diselengara serta dicat semula dengan kos RM515,000.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata berkata, inisiatif tersebut akan meremajakan kembali kawasan kediaman di sini, sebagaimana dihasratkan oleh penduduk serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin tidak lama lagi.

"Kerja-kerja pengecatan telah pun bermula pada 1 Mac lalu, akan mengambil masa selama empat setengah bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 Julai depan.

"80 kos projek ini adalah CSR (tanggungjawab sosial korporat) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), manakala bagi 20 peratus lagi yang sepatutnya ditanggung oleh persatuan penduduk telah pun dibiayai oleh pihak Dr. Afif.

"Kita harap selepas pengecatan dan kerja-kerja pembaikan ini disempurnakan, ini akan menyerikan dan memeriahkan semula kawasan di sini.

"Tetapi yang lebih penting adalah jagalah kawasan halaman kediaman anda, kerana ini rumah kebahagiaan anda," jelas Guan Eng dalam Majlis Perasmian Kerja-Kerja Pengecatan Semula Blok D1 Hingga D9, D20 & D21 Bandar Seberang Jaya di sini pada tengah hari tadi.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam memberitahu beliau percaya projek inisiatif terbaru Kerajaan Negeri tersebut akan melonjak semula nilai hartanah jenis perumahan di sini, kelak.

Selain Dr. Afif, turut berucap Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; serta wakil semua persatuan penduduk, Halimatun Saadiah Ibrahim turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Zulkifli Long; serta Pengurus Besar PDC, Dato' Rosli Jaafar.

Dr. Afif yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan memberitahu impian mengecat kesemua 11 blok rumah pangsa di sini sebenarnya merupakan hasrat penduduk setempat sebelum pilihan raya umum ke-13 dahulu.

"Sejak saya dipilih menjadi ADUN Seberang Jaya, antara isu utama yang dibangkitkan oleh penduduk di sini adalah tentang isu penyelenggaraan rumah-rumah pangsa di kawasan ini.

"Dengan lokasinya yang strategik dan tanah yang mempunyai nilai tinggi, kita melihat ada keperluan untuk projek penyelenggaraan, membaik pulih dan mengembalikan balik kegemilangan kawasan ini (Seberang Jaya)," jelas Dr. Afif.

Manakala Halimatun Saadiah mewakili 11 jawatankuasa persatuan penduduk di sini merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng atas projek inisiatif tersebut.

"Ini merupakan usaha Kerajaan Pulau Pinang yang bermatlamatkan membina suasana 'cleaner, greener Penang'.

"Sungguhpun Kerajaan Pulau Pinang telah melakukan pelbagai insiatif seumpama ini, saya percaya menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

"Apa yang diperlukan adalah sedikit sahaja inisiatif daripada penduduk, iaitu dengan tidak mengotorkan kawasan halaman rumah masing-masing," jelas Halimatun Saadiah.