Skip to main content

RM40 juta projek tebatan banjir bandar Mak Mandin mula Sept., umum Kon Yeow




Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM
- Kerja-kerja di lapangan projek tebatan banjir bandar Mak Mandin bernilai RM40 juta dalam tempoh dua tahun dijangka bermula pada bulan September ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir berkata, projek berkaitan meliputi 4.45 kilometer persegi, termasuk usaha mengurangkan risiko banjir kilat di Taman Cantik dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal dan Taman Bagan dekat KADUN Bagan Dalam, yang melibatkan kira-kira 225 rumah kediaman.

"Aliran air dua sungai (Sungai Mak Mandin dan parit monsun dari Teluk Air Tawar) ini bertembung dan bersambung ke Sungai Perai.

"Cadangan kita adalah membina sebuah rumah pam yang lebih besar di pertembungan dua sungai ini supaya boleh membawa keluar limpahan air ke Sungai Perai, manakala pintu air parit monsun pula adalah menghalang masuk limpahan air ketika air pasang," jelasnya ketika melawat kawasan hotspot banjir di Mak Mandin di sini, semalam.

Menurut Kon Yeow, rumah pam sementara sedia ada akan dirobohkan dan dua pam boleh bergerak di sini akan dipindahkan ke lokasi lain apabila projek rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai RM40 juta berkaitan siap kelak.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS), Ir. Sabri Abdul Muluk turut sertai lawatan kerja Kon Yeow meninjau keadaan lokasi hotspot banjir di sekitar Parlimen Bagan.

BERITA LANJUT MENYUSUL KEMUDIAN.