Skip to main content

Renang Antarabangsa Rentas Selat Pulau Pinang, sekali lagi imbau kenangan 1988

SEAWAL jam 5.30 pagi, peserta lengkap berpakaian sut renang menutup seluruh badan merakamkan gambar-kenangan di pantai Persiaran Gurney sebelum merentasi Selat Pulau Pinang ke Pantai Bersih di sini baru-baru ini. | Foto: FB Peng Hong Yeoh.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Tan Rupert dan Jose Luis Larossa Chorro muncul sebagai dua pemenang teratas dalam cabaran edisi ketiga Renang Antarabangsa Rentas Selat Pulau Pinang 2017 pada 25 Mac lalu, dari pantai Persiaran Gurney ke persisiran Pantai Bersih dekat Butterworth.

Ketika ditemui, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata acara itu sebenarnya telahpun diadakan pada tahun 1988, dan cuba dihidupkan semula oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.

"Acara ini pernah diadakan pada tahun 1988 di sini, dan kita harap Penang International Cross Channel Swim ini akan menambahkan satu lagi acara tahunan dalam kelender pelancongan sukan negeri di peringkat antarabangsa.

"Kali ini, saya dapati hampir semua memakai pakaian renang menutup seluruh badan untuk elak tersentuh obor-obor seperti tahun lepas, dan ini ciri-ciri keselamatan yang bagus untuk acara peringkat antarabangsa," jelas Chong Eng kepada pemberita di sini baru-baru ini.

CHONG Eng (dua dari kiri) dan Maimunah Mohd. Sharif (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Tan Rupert (paling kiri) dan Jose Luis Larossa Chorro (paling kanan) di lokasi penamat edisi ketiga Renang Rentas Selat Pulau Pinang Peringkat Antarabangsa 2017 di Pantai Bersih di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato' Maimunah Mohd. Sharif dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Dato' Frederick Tan Teck An antara pemimpin negeri yang hadir meraikan acara tahunan tersebut.

Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang (PASA), MSNPP, MPSP serta beberapa pertubuhan lain yang saling bekerjasama menjayakan acara tersebut.

Manakala Maimunah pula memberitahu penganjuran acara tahunan tersebut sekaligus menyumbang pada usaha meremajakan lagi kawasan pelancongan Pantai Bersih, sebagaimana dirancang secara bersama antara MPSP dan Syarikat Think City Berhad (ThinkCity) di bawah Projek Butterworth Baharu.