Skip to main content

P.Pinang demokratik, pembangkang ada hak usul pecat Ketua Menteri di DUN, respons Guan Eng



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Terpulang kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menerima atau tidak usul pihak pembangkang mendesak peletakkan jawatan Ketua Menteri pada sesi persidangan yang dijadualkan pada 19 Mei ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian sebagai respons pada kenyataan media Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman pada hari ini.

"Di Pulau Pinang, kita amalkan demokrasi dan akan membenarkan sebarang usul.

"Akhirnya terpulang kepada Speaker lah, namun Kerajaan Negeri sangat ambil perhatian untuk tidak menolak (usul pembangkang) ini," respons Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kepada pemberita di sini, tengah hari tadi.

Guan Eng berkata amalan DUN Pulau Pinang dan Selangor bukanlah seperti Dewan Rakyat hari ini, yang membenarkan Presdien Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membentangkan usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenaya) atau RUU355 pada 6 April lalu, lalu menangguhkan perbahasan ke sesi persidangan seterusnya pada 24 Julai depan.

Zainal Abidin dalam kenyataannya hari ini antara lain menuduh Guan Eng cuba membalas dendam dengan menggambarkan kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat pada 5 April lepas sebagai menyokong mangsa rogol dibenarkan mengahwini perogol demi mengubati masalah sosial.

Zainal Abidin menuduh Guan Eng cuba membalas dendam apabila Shabudin sebelum ini mengaitkan Ketua Menteri itu terlibat dalam menjual sebidang tanah awam milik negeri kepada pihak swasta dengan harga di bawah pasaran yang sebenar.

Menjawab tuduhan Zainal Abidin tersebut, Guan Eng mempersoal wibawa pemimpin Umno dan Barisan Nasional sejak pertengahan tahun lepas langsung tidak mengkritik Shabudin, yang sebelum ini dikaitkan menjual sebidang tanah awam milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).


Katanya, tanah awam PERDA seluas 3.461 hektar (ha) di Tok Keramat dekat Seberang Prai Selatan (SPS) itu dijual pada harga RM1.427 juta, sedangkan nilai pasaran sebenar adalah RM16.636 juta berdasarkan penilaian duti setem itu.