Skip to main content

Peruntukan TP1M susut 92.5% gambarkan tahap kewangan Pusat teruk



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Peruntukan tahunan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) bagi tahun 2016 sejumlah RM3.98 juta, menyusut 92.5 peratus berbanding RM50.73 juta pada tahun 2015 berdasarkan Jawapan Bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Terkejut dengan perkara itu, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata ia seakan menggambarkan Kerajaan Persekutuan ketika ini kian menghadapi masalah kewangan yang begitu teruk. 

"Kalau Pulau Pinang nak dianaktirikan kerana kita Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, saya tahu...tapi sembilan negeri di Malaysia tak dapat sebarang projek TP1M bagi tahun 2016," tegas Jagdeep ketika berucap sepentas dengan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam Majlis Pelancaran Rasmi Kerja-Kerja Pengecatan Semula Blok D1 Hingga D9, D20 & D2 di sini, semalam.

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan; serta wakil persatuan penduduk setempat, Halimatun Saadiah Ibrahim.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Sr. Rozali Mohamud; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Zulkifli Long; serta Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato' Rosly Jaafar.

Jagdeep merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng kerana meluluskan RM515,000 untuk projek pengecatan semula semua blok rumah pangsa berusia 33 tahun tersebut, di sini.

Beliau memberitahu 80 peratus kos projek tersebut adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) PDC, manakala 20 peratus baki kos yang sepatutnya ditanggung oleh persatuan penduduk telah pun dibiayai oleh pihak Dr. Afif.

Salinan dokumen Statistik Pelaksanaan TP1M Tahun 2013 Hingga 2016 yang didedahkan di Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan bagi tahun 2016 langsung tiada projek TP1M diluluskan Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Menurut laporan statistik sama, tiga projek TP1M diluluskan di Johor, Melaka (tiga projek), Negeri Sembilan (dua projek), Pahang (empat projek), Perak (empat projek), Sabah (dua projek) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (satu projek); menjadi keseluruhan bagi tahun 2016 sejumlah 19 projek sahaja.

Bagi tahun 2015, menurut sumber, sejumlah 78 projek TP1M dengan peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat adalah sebanyak RM50.73 juta.

Manakala bagi tahun 2014, 96 projek TP1M diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM46.49 juta.

Tahun 2013 pula, Kerajaan Pusat meluluskan sejumlah RM32.82 juta untuk pelaksanaan 97 projek TP1M di seluruh negara, termasuk empat projek di negeri ini ketika itu.

"143 permohonan telah pun dibuat sejak tahun 2012, hanya 27 permohonan...tahun 2016 langsung tiada permohonan diluluskan untuk kedua-dua pihak berkuasa tempatan  (PBT) untuk skim-skim rumah mampu milik Jenis A dan Jenis B (Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah) yang diluluskan," tegas Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri.

"Kerana Kerajaan Persekutuan tidak meluluskan 90 peratus atau 70 peratus kos bagi satu-satu projek TP1M di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui tabung Program Penyelenggaraan Perumahan Pulau Pinang (YES) tidak mampu mengeluarkan 10 peratus atau 30 peratus baki kos projek yang sepatutnya ditanggung oleh persatuan penduduk.

"Menyedari kelemahan daripada pihak Kerajaan Persekutuan ini, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan juga telah mewujudkan satu tabung penyelenggaraan yang dinamakan sebagai Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 peratus Pulau Pinang  (TPM80PP).

"Sejak tahun 2013, sebanyak RM7,866,841.93 telah disumbangkan melalui tabung ini kepada projek-projek rumah awam yang wujud di negeri Pulau Pinang, untuk projek penyelenggaraannya termasuk penukaran lif, tangki air, bumbung dan kerja-kerja kritikal yang lain," jelas Guan Eng lagi.

Sejak enam bulan TPM80PP diperkenal, Jagdeep memberitahu Kerajaan Negeri telah meluluskan 80 permohonan bernilai kira-kira RM2.2 juta, ketika Kerajaan Pusat pada tahun 2016 didedah meluluskan hanya peruntukan RM3.98 juta untuk pelaksanaan TP1M di tanah air ini.