Skip to main content

Nanyang Siang Pau tak wajar ditutup, 'dihukum' ya, respons Guan Eng



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang sudah mengaku kesilapan serta memohon maaf kerana menyiarkan karikatur sensitif baru-baru ini tidak wajar ditarik lesen penerbitan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata Kerajaan Pusat sepatutnya tidak menyekat kebebasan media secara bertanggungjawab di tanah air ini.

"Kita (Kerajaan Negeri) percaya kebebasan media, tak wajar (Nanyang Siang Pau) diminta tutup, jika dihukum, 'ya'.

"Jika kamu mahu menutup (akhbar) Nanyang Siang Pau disebabkan sesuatu kesilapan, maka perlu jugalah menutup akhbar yang melakukan penipuan dan mewujudkan sentimen kebencian sesama kaum di Malaysia, seperti Utusan Malaysia," jelas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan menjawab soalan pemberita di sini, petang tadi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng turut sertai sidang media tersebut.

Beberapa hari lalu, terbitan Nanyang Siang Pau memaparkan Presideng Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seakan monyet.

Karikatur berjudul "Akta Monyet" ini merujuk pada sesi perbentangan usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 2016 atau Akta 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Susulan itu, akhbar tersebut mendapat kritikan hatta diminta tutup operasi daripada pelbagai pihak, termasuk penyokong Abdul Hadi serta ahli PAS di ibu negara.

Dua hari lepas, pihak Nanyang Siang Pau telahpun mengaku kesilapan, memohon maaf serta menurunkan karikatur menghina Abdul Hadi dan Pandikar Amin dari portal berita atas taliannya.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam kenyataannya pada 11 April memberitahu berdasarkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, 1984, pihaknya telah meminta Nanyang Siang Pau menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari, sebelum tindakan selanjutnya.