Skip to main content

Guan Eng hasrat saman SPR tanpa tunggu prosiding bantahan lanjut




Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng akan mengfailkan saman di mahkamah berhubung usul cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri, tanpa menunggu sesi kedua pendengaran bantahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sebenarnya saya nak tunggu selepas pusingan kedua, iaitu selepas kita hantar bantahan, terdapat pendengaran, kalau tidak dapat jawapan yang memuaskan, kita buat saman di mahkamah.

"Tapi, oleh kerana perkembangan baru, (Mesyuarat) Exco telah bersetuju untuk saya memulakan saman tanpa menunggu (sesi) pendengaran," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Ahli Parlimen Bagan kepada pemberita di sini, petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon yang juga ADUN Pantai Jerejak; serta Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap ADUN Padang Lalang, Chong Eng.

Tegasnya, langkah terbaru itu kerana SPR didakwa gagal membuat persempadanan semula berdasarkan prinsip "1 orang, satu undi, satu nilai" yang didesak oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.

"Sepatutnya SPR membuat persempadanan semula berdasarkan perlembagaan persekutuan, tetapi untuk kali ini di Pulau Pinang mereka tidak buat langsung," tegas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu ADUN Batu Maung, Dato' Abdul Malik Abul Kassim sepatutnya pada hari ini mengumumkan hasrat untuk membuat bantahan pada persempadanan semula yang dibuat SPR.

Namun, Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna khabarnya mempunyai urusan lain di ibu negara.

Difahamkan, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung ketika ini menerima pertambahan kira-kira 7,000 undi, pada saat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kian dekat.

Pertengahan bulan November tahun lalu, Guan Eng buat kali pertama membantah cadangan persempadanan semula SPR, khusus bagi KADUN Paya Terubong.

Guan Eng dalam prosiding bantahan ketika itu mendedahkan KADUN Air Putih yang diwakilinya mempunyai 12,752 pengundi  berbanding 41,707 pengundi di KADUN Paya Terobong, dengan nisbah 3.27 kali ganda.

Baginya, cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan tiap-tiap 10 tahun sepatutnya lebih adil, sebagaimana dituntut dalam perlembagaan persekutuan.

Ini kerana, katanya, Fasal (2) Perkara 113 dibawah sub-seksyen 2(C) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: Bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran perwajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya.