Skip to main content

Guan Eng beri penghormatan terakhir kepada mendiang ayah ADUN Jawi

KETUA Menteri diiringi Lim Siew Khim merakamkan gambar bersama anggota keluarga Soon Lip Chee, di Taman Seri Juru di sini, lewat petang tadi. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng lewat petang tadi turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ayah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee di kediaman mereka dekat Taman Seri Juru di sini.

Turut mengiringi, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang juga Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang; Ketua DAPSY Negeri, Foo Yu Keong serta dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jason H'ng Mooi Lye dan Heng Yeh Shiuan.

Bercakap kepada pemberita, Lip Chee memberitahu mendiang ayahnya, Soon Ah Khoot, 80, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di rumah mereka di sini pada detik 3.15 pagi, semalam (6 April 2017).

"Daya tahan tubuh memang lemah, tetapi semangat sangat tinggi.

"Hujung hayatnya, beliau senantiasa mengingatkan saya bahawa tidak salah menjadi orang miskin, tetapi mesti jangan putus asa untuk ubah nasib keluarga dan orang miskin di sekeliling kita.

"Ketika saya dilantik menjadi Ahli Majlis (MPSP) dahulu, ini lah nasihatnya, dan inilah nasihatnya selepas saya dipilih menjadi wakil rakyat pada pilihan raya lalu (5 Mei 2013)," jelas Lip Chee.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Guan Eng serta semua tetamu yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ayahnya.