20 April 2017

Exco umum RM19,000 projek kurangkan risiko banjir di Bukit Tengah



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH - Kerja-kerja pembinaan rumah pam di hilir Parit 4 ke Sungai Juru serta beberapa beberapa projek penarafan lain yang menelan belanja RM19,128,721 akan dimulakan pada bulan November ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2019.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata projek tersebut akan mempercepatkan aliran keluar air daripada kawasan-kawasan tadahan utama ke laut, sekaligus mengurangkan risiko banjir di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

"Kerajaan Negeri berharap dengan cadangan penyelesaian yang telah sedang direkabentuk oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Pulau Pinang akan dapat mengurangkan risiko serta masalah kekerapan banjir kilat," jelas Kon Yeow kepada pemberita, sebelum meninjau tapak cadangan pembinaan rumah pam tersebut.

Kon Yeow memberitahu pam sedia ada di sini dengan kapasiti 0.5 meter padu per saat adalah tidak berupaya lagi untuk mengepam kapasiti aliran air dari Parit 4 dan Sungai Juru Borrow Pit ke Sungai Juru.

"Parit 4 mempunyai kawasan tadahan yang merangkumi kawasan Taman Desa Damai, Kebun Sireh, Kampung Permatang Batu, Bandar Perda, Taman Jambu, Taman Semarak, Taman Gemilang, Taman Sri Rambai, Taman Belimbing, Taman Limau Manis dan sebahagian kawasan Juru Autocity.

"Manakala, kawasan seperti Kampung Bukit Tengah, Taman Pelangi, Taman Tok Keramat, Juru Autocity dan kawasan Jalan Perusahaan adalah terletak dalam kawasan tadahan Sungai Juru Borrow Pit.

"Dengan pembinaan Rumah Pam baharu dengan kapasiti 12 meter padu persaat selepas ini, serta kerja-kerja mitigasi yang lain, diharapkan dapat mengurangkan lagi risiko banjir kilat di sekitar kawasan ini," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen kerana begitu konsistan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menyegerakan projek tebatan banjir di kawasannya.

Sebelum itu, wakil kejuruteraan JPS daerah memberitahu, di bawah projek sama turut dilaksanakan kerja-kerja penarafan sistem seliran sedia ada sepanjang 5.5 kilometer; penarafan Parit 4 sediada sepanjang 750 meter (m); menaik taraf parit lencongan sedia ada di dua lokasi; serta pengalihan utiliti.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus