Skip to main content

Exco jemput penternak bincang, tangani isu kacau ganggu lalat

DR. Afif Bahardin (tengah), Dr. Fadilah Abdul Rahim (kiri) dan seorang pegawai MPSP lain pada sidang media di perkarangan sebuah pasar raya di sini, petang tadi. 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT TAMBUN - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin sekali lagi turun meninjau sendiri keadaan kacau ganggu lalat di sekitar kawasan Sekolah Antarabangsa Gems dan sebuah pasar raya di sini pada petang tadi.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya memberitahu pihaknya mengalu-alukan pemilik ladang-ladang ayam terbabit supaya segera ke pejabatnya, untuk berbincang dan mencari solusi terbaik.

"Kalau nak salahkan penternak, mereka lebih lama di sini, kerana pembangunan baharu di sini rata-rata diluluskan sebelum tahun 2008.

"Setakat ini, difahamkan, pemilik-pemilik ladang ada datang berjumpa dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), namun dengan pejabat saya belum lagi.

"Saya harap ianya dapat dilakukan supaya isu lalat ini dapat diatasi," jelas Dr. Afif selepas meninjau kawasan berwajib di sini.

Bercakap pada sidang media sama, Pegawai Jabatan Verteriner MPSP, Dr. Fadilah Abdul Rahim memberitahu terdapat kira-kira lima ladang ternakan ayam di kawasan berhampiran dan empat daripadanya masih aktif.

"Ladang terdekat pula hanya 200 meter dari sini (pasar raya)," respons Dr. Fadilah.

Pada 5 September tahun lepas, Dr. Afif bersama-sama Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato' Maktar Shapee yang juga ADUN Sungai Bakap turun meninjau di sini, selepas mendapat aduan langsung daripada pentadbiran Sekolah Antarabangsa Gems.

Ketika itu, Dr. Afif memberitahu isu kacau ganggu lalat boleh diselesaikan apabila peladangan moden secara tertutup dilaksanakan.

Katanya lagi, rang undang-undang baharu berhubung Enakmen Penternakan Babi 2016 dibentangkan dalam DUN Pulau Pinang pada bulan November 2016 dan akan dikuatkuasakan bermula tahun 2019.

Menurut enakmen tersebut, empat kriteria Modern Pif Farming yang telahpun digariskan, iaitu, sistem penternakan babi secara tertutup; mempunyai kawasan penampan; Zero Discharge; dan Good Animal Husbandry Practices (GAHP).

Dr. Afif memberitahu Kerajaan Negeri akan berbincang dengan semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan penternakan ayam secara moden dan tertutup, walaupun ketika ini belum ada lagi enakmen baharu yang khusus untuk peladangan unggas di negeri ini.