Skip to main content

Elok Shabuddin letak jawatan Ahli Parlimen, Guan Eng kutuk syor mangsa kahwini perogol



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Pemimpin Umno Pulau Pinang, Dato' Shabudin Yahaya yang berpendapat perkahwinan antara mangsa rogol bawah umur dengan perogol boleh mengubati masalah sosial, sepatutnya melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan mengutuk sekeras-kerasnya pendapat Shabudin, serta menuntut reaksi lanjut daripada pemimpin Barisan Nasional negeri.

"Kamu mahu mangsa wanita bawah umur ini derita setiap hari untuk berdepan dengan perogol ini, ini sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima.

"Kami sangat malu dia (Shabudin) adalah Ahli Parlimen dari Pulau Pinang...dia patut letak jawatan sebagai Ahli Parlimen," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam sidang media di Komtar, petang tadi.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak; serta Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap ADUN Padang Lalang, Chong Eng masing-masing turut mengkritik Shabudin yang mahu wanita beragama Islam yang menjadi mangsa rogol mengahwini perogol.

Di Dewan Rakyat 5 April lalu, Shabudin dilaporkan berkata, walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa rogol daripada berkahwin dengan individu merogolnya.

"Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.

"Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh jadi suaminya pada ketika itu. Ini adalah satu remedi kepada masalah sosial yang berlaku," kata Shabudin dipetik dari portal berita atas talian Malaysiakini.com.