Skip to main content

TYT wakili ZPP terima serahan zakat korporat TH RM2.18 juta



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

DATUK KERAMAT - Lembaga Tabung Haji (TH) petang ini menyerahkan zakat korporat bagi tahun 2016 sejumlah RM2.18 juta (RM2,178,499.84) kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah yang menyerahkan zakat itu kepada Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abas di kediaman rasminya Seri Mutiara di sini.

Turut menyaksikan majlis penyerahan itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim; Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato' Mohd. Salleh Man; Mufti Negeri, Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; serta Pengurus Besar ZPP, Dato' Azman Abdul Somad.

Bercakap kepada pemberita, Johan memberitahu, pembayaran zakat TH bagi negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 2.51 peratus berbanding RM2,125,105.49 bagi tahun 2015.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pembayaran zakat meliputi semua negeri bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM60.3 juta, berbanding RM59.3 juta bagi tahun 2015, dengan angka peningkatan kira-kira 1.69 peratus.