29 March 2017

Tunggu tindakan lanjut Pusat, Guan Eng respons isu Mahkamah Rayuan batal 'pengharaman' PPS



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN
- Kerajaan Pusat mulai 28 Mac masih mempunyai 30 hari untuk membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Persekutuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan 'pengharaman' Pasukan Peronda Sukarela (PPS) negeri Pulau Pinang.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata Kerajaan Negeri akan mendapatkan nasihat guaman sebelum mengaktifkan semula operasi PPS, sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada Pusat.

"Mereka boleh pergi ke Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 30 hari, tetapi keputusan Mahkamah Rayuan adalah jelas 3-0, membuktikan penubuhan PPS oleh Kerajaan Negeri adalah menurut undang-undang.

"Saya fikir kami akan merujuk peguam kami dahulu," respons Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kepada pemberita di Komtar, petang tadi.

Semalam, Mahkamah Rayuan membatalkan larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan PPS sebagai 'pertubuhan haram'.

Panel hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, dan dianggotai oleh Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan yang membuat keputusan tersebut.

Mereka sebulat suara mengketepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 22 November tahun lalu, yang mengekalkan larangan KDN.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan semua bahan yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri itu dikembalikan kepada organisasi berkenaan.

Pada perarakan perarakan hari kebangsaan pada 31 Ogos 2014, polis menangkap 157 anggota PPS dan merampas semua asetnya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemudiannya memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membatalkan perintah KDN yang mengisytiharkan PPS negeri ini sebagai sebuah pertubuhan haram.

Dalam permohonan itu, Kerajaan Negeri menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dan antara lain memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan perintah yang dibuat Menteri Dalam Negeri pada 3 Nov 2014 yang mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966.

Kerajaan negeri itu turut memohon suatu perintah mandamus bagi mengarahkan responden mengembalikan semua jaket, peralatan, lambang, senjata atau sebarang dokumen kepunyaan PPS.

Kerajaan negeri juga memohon suatu deklarasi bahawa PPS telah ditubuhkan secara sah dan betul oleh kerajaan negeri menurut Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan, 1976.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Hadhariah Syed Ismail menolak permohonan itu atas alasan bahawa PPS tidak berdaftar mengikut Seksyen 101 (b) (5) Akta Kerajaan Tempatan yang memerlukan sesebuah pertubuhan itu didaftarkan.

Beliau berkata, seksyen itu hendaklah dibaca bersama Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966 bahawa sesebuah pertubuhan perlu mendaftar di bawahnya.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus