Skip to main content

RM6.7 juta projek minimum risiko banjir di Permatang Tinggi siap, umum Guan Eng



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK
- Projek pembinaan parit lencongan (bypass channel), penarafan rumah pam serta kerja-kerja pembaikan infrastruktur mengurangkan risiko bencana banjir di sekitar kawasan Permatang Tinggi yang siap sepenuhnya menelan belanja RM6,689,136.70.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata projek penarafan lima unit pam berkenaan akan mempertingkatkan keupayaan mengepam aliran Parit 4 semasa hujan lebat, melancarkan kadar aliran air dari Permatang Tinggi ke Sungai Junjung, sekaligus mengurangkan risiko banjir kilat di sini kelak.

"JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk menaiktaraf rumah pam sedia ada kepada yang berkapasiti lebih tinggi, iaitu lima buah pam dekan kapasiti 2 meter padu per saat (3 unit), 1 meter padu per saat (seunit) dan 0.5 meter padu sesaat (2 unit).

"Jumlah kapasiti kelima-lima pam tersebut adalah 7.5 meter padu per saat berbanding 0.9 meter padu per saat terdahulu," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan pada pagi tadi.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan merangkap Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata demikian pada Majlis Perasmian Rumah Pam Permatang Tinggi di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota; serta Pengarah JPS Negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Menurut Guan Eng, sejumlah RM150 juta diperuntukkan kepada JPS untuk melaksanakan sembilan projek tebatan banjir di negeri ini.

Kon Yeow pula memberitahu peruntukan RM150 juta itu selepas disusun semula projek di bawah RTB kemungkinan boleh melaksanakan 10 hingga 11 projek tebatan banjir mengikut keutamaan.

"Terdapat 47 'hotspot' banjir, iaitu lima di Daerah Timur Laut, 11 di Daerah Barat Daya, sembilan di Daerah Seberang Perai Selatan, 11 di Seberang Perai Tengah dan 11 lagi di Daerah Seberang Perai Utara, yang perlu diberi perhatian di negeri Pulau Pinang.

"Dengan RM150 juta ini, untuk mengurangkan kejadian banjir kilat di 11 lokasi 'hotspot' banjir kilat sahaja...baki 36 'hotspot' banjir akan diselesaikan secara berperingkat, iaitu melalui projek tebatan banjir sama ada menggunakan peruntukan negeri, caruman perparitan atau persekutuan," jelas Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Negeri.

Sementara itu, Sabri pula memberitahu pihaknya berjanji akan memastikan projek RTB lembangan Sungai Pinang akan dimulakan segera mungkin, paling lewat pada hujung tahun ini.

Terdahulu, Kerajaan Pusat pada pertengahan bulan November tahun lepas mengumumkan kelulusan peruntukan RM150 juta untuk Pulau Pinang sungguhpun anggaran kos minimum untuk fasa kedua RTB Sungai Pinang yang dimohon oleh JPS adalah kira-kira RM350 juta.

Pusat meluluskan peruntukan tersebut selepas Guan Eng mengumumkan kelulusan segera peruntukan sejumlah RM665,000 untuk JPS melaksanakan tujuh RTB berskala kecil ketika fenomena hujan lebat, limpahan air sungai dan banjir kilat melanda beberapa kawasan di bahagian Pulau.

15 November tahun lepas, Guan Eng ketika memberitahu RM220 juta untuk pengurusan pencegahan banjir yang diumumkan dalam Bajet 2017 Pulau Pinang merupakan peruntukan paling besar dalam sejarah belanjawan negeri ini.