Skip to main content

Presiden PAS mungkin nak tutup 'kelemahan' Kelantan, respons Guan Eng

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI 

GEORGE TOWN - Tuduhan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya agama Islam diabaikan di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mungkin bertujuan untuk menutup kelemahan tadbir urus Kerajaan Negeri Kelantan belakangan ini.

Justeru, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sekali lagi menasihatkan Abdul Hadi dan PAS supaya bekerja keras meningkatkan mutu pentadbiran dalam Kerajaan Negeri Kelantan, supaya tak hilang dirampas Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

“Sehingga hari ini tidak dapat bina rumah untuk mangsa banjir tiga tahun lepas.

"Bila berlaku banjir, ianya lebih teruk kerana hutan ditebang, balak ditebang semua untuk siapa? Kerana gagal menjalankan ekonomi dengan lebih baik, itulah akibatnya.

"Dia (Abdul Hadi) cuma hendak sokong UMNO sahaja, rela Barisan Nasional (BN) hidup daripada PH (Pakatan Harapan) menggantikan BN di Putrajaya.

“Dan, kami (PH) rasa ini tidak masuk akal, maka akhirnya dia akan hilang Kelantan,” respons Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan ketika diminta mengulas mengenai tuduhan terbaru Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang.

Guan Eng memberi respons itu selepas Majlis Penyerahan Cek Replika Sumbangan Kepada 22 Sekolah Mubaligh Peringkat Negeri 2017 di Auditorium A, Komtar di sini pada tengah hari tadi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, sebelum ini pun ada seorang profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menyatakan pendekatan mesra Umno BN belakangan ini akan mengakibatkan PAS kehilangan Kelantan kelak.

Sementara itu, Guan Eng memberitahu pentadbirannya sejak Mac 2008 bukan sahaja memberi tanah, malah memberi peruntukan dalam bentuk wang kira-kira RM65 juta, demi memartabatkan Islam dan umat di Pulau Pinang.

“Beliau (Abdul Hadi) harus faham, peruntukan Kerajaan Pakatan Harapan kepada agama Islam naik 300 peratus berbanding kerajaan terdahulu.

“Tak kan beliau ada mata tidak nampak, telinga tidak dengar, hati tak rasa...saya rasa saya nak biarkan fakta-fakta membuktikan siapa yang betul, siapa yang batil.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng ketika membentangkan Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2017 pada bulan November lalu mengumumkan sejumlah RM49.4 juta.

Mengikut perincian, peruntukan Kerajaan Negeri sejumlah RM49,375,900 untuk pembangunan Hal Ehwal Agama Islam bagi tahun 2017 adalah berikut:

● RM1,750,000 untuk program bantuan pendidikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR);

● RM930 000 untuk sumbangan Ex-Gracia guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA);

● RM9,050,020 untuk projek-projek pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama dan Masjid Negeri;

● RM21,469,280 untuk peruntukan pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam;

● RM2,964,270 untuk peruntukan mengurus Jabatan Mufti;

● RM7,642,330 untuk peruntukan mengurus Jabatan Kehakiman Syariah;

● RM3,000,000 untuk bayaran saguhati pegawai-pegawai masjid; dan

● RM2,570,000 untuk bantuan khas wang/bonus kepada guru KAFA, guru agama, guru pondok, guru tahfiz, guru Tadika Islam (TADIS), sumbangan kepada Ijtimak Huffaz, sumbangan kepada masjid sempena bukan Ramadan, sambutan Maal Hijrah, Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri, Ujian Menghafaz Al-Quran, Pertandingan Nasyid, Sambutan Maulidur Rasul, peruntukan MMK Agama dan Tabung Perumahan Agama Islam.

"Tuduhan media massa BN (Barisan Nasional) bahawa kita (Kerajaan Negeri) hanya peruntukan RM8 juta sahaja, ini satu lagi dusta dan fitnah.

"Pecahan peruntukan Kerajaan Negeri 2017 untuk pembangunan Hal Ehwal Agama Islam, jumlah peruntukan terkumpul sebenarnya hampir RM50 juta (RM49,375,900)," ujar Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam, ketika itu.