Skip to main content

RM3 juta untuk bangunkan desa, termasuk bantu ekonomi Melayu – Dr. Afif

DR. Afif Bahardin (dua dari kiri) menyampaikan kunci replika Projek Bina Rumah Baru Perumahan Rakyat kepada Rabihah Abdul Manap dalam majlis Jelajah Desa 2016 Peringkat KADUN Timur Laut di sini baru-baru ini.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

SERI DELIMA - Sebanyak RM3 juta diperuntukan dalam Bajet 2017 Kerajaan Pulau Pinang di bawah Projek Ekonomi Khas, dengan memberi fokus pada projek pembinaan rumah baru, baiki rumah dan projek bantuan peralatan untuk masyarakat terpilih.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Perumahan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian ketika program Jelajah Desa 2016 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, Bertam serta di Daerah Timul Laut baru-baru ini.

"Projek Ekonomi Khas ini memang untuk semua kaum yang layak, tidak benar sekiranya disebut Kerajaan Negeri hari ini tak bantu orang Melayu dari segi berniaga atau meningkatkan taraf hidup mereka.

"Contoh, Projek Bina Rumah Baru Perumahan Rakyat bernilai RM40,000 untuk penerima, Rabihah Abdul Manap dekat Jalan Persiaran Sungai Gelugor Dua di sini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Projek Ekonomi Khas ini," jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada program Jelajah Desa 2016 di sini baru-baru ini.

Selain itu, katanya sejumlah RM200,000 yang diperuntukan dalam belanjawan 2017 akan dibelanjakan untuk menganjurkan program-program pembangunan modal insan.

"RM200,000 ini demi melahirkan warga yang bermotivasi dan berdaya saing, dan harapan kita (Kerajaan Negeri) bahawa mereka yang menyertai program modal insan akan menjadi warga yang optima untuk bersama-sama membangunkan ekonomi negeri Pulau Pinang," jelas Dr. Afif lagi.

DR. Afif Bahardin (kiri) menyerahkan cek replika RM500 kepada wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Tanjong Tokong, untuk pembangunan aktiviti ekonomi desa setempat di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Dr. Afif berkata, Kerajaan Negeri menyedari terdapat begitu banyak 'kampung warisan Melayu' dan akan menyalurkan bantuan berwajib kepada mereka yang layak.

Di Daerah Timur Laut, Dr. Afif menyampaikan bantuan peralatan bernilai RM2,968 berupa gerai, meja, pemanas kopi dan 12 unit plastik kepada penerima, Lizarosnita Zakariah.

Md. Amin Babjan dan isteri, Zarina Shaari turut menerima mesin pengadun krip puff bernilai RM2,980, yang mempu menyediakan sehingga 300 krim puff sehari untuk dipasarkan di KADUN Air Itam serta kawasan sekitar daerah ini.

Selepas itu, jelajah desa Dr. Afif seterusnya ke Masjid Tuan Guru dekat Tanjung Tokong.

Di sini, Dr. Afif menyertai kenduri rakyat serta menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 50 pelajar terpilih.

DR. Afif Bahardin (belakang, tengah) bersama-sama pemimpin komuniti setempat merakamkan gambar dengan para penerima wang bantuan seragam sekolah di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Dr. Afif turut menyerahkan replika kunci Projek Bina Rumah Baru bernilai RM40,000 kepada seorang ibu tunggal, Jamilah Zainol, 45, di Kampung Pasir Gebu.

Dr. Afif turut menyampaikan 10 ekar tanah pendudukan sementara (TOL) kepada Othman Mohd. Isa di Kampung Tepi Laut Pasir Gebu untuk peladangan nipah dan perusahaan air nira.

Pada kesempatan sama, beliau turut melawat Khatijah Zainon, 39 di Taman Penaga Permai, iaitu penerima mesin ketuhar bernilai RM2,100 pada tahun lalu.

Menurut Khatijah, bantuan di bawah Projek Ekonomi Khas ini membolehkan beliau menghasilkan 300 biji kuih seperti karipap, cucur badak, popia dan sebagainya dalam sehari sahaja.

"Seperti di Daerah Timur Laut, Kerajaan Negeri di Permatang Pak Elong dekat Penaga juga bina baru rumah rakyat untuk Encik Saad, berusia 85 tahun dan tinggal dengan isteri sahaja dengan pendapatan bulanan RM350 hasil sawah.

"Selepas ini, Jelajah Desa 2016 seterusnya ke Surau Al-Mutaqin dekat Bandar Putra Bertam kerana di sana ada seramai 12 penerima Bantuan Peralatan Fasa D bagi Daerah SPU (Seberang Perai Utara) juga, berupa mesin jahit, pembakar, pengisar, peti sejuk, periuk, dapur, kerusi dan meja, kanopi dan sebagainya untuk kegunaan perniagaan, demi meningkatkan pendapatan komuniti desa," jelas Dr. Afif lagi.