19 December 2016

Lydia Ong tak kisah dikenali sebagai 'YB Lantang' . . .

LYDIA Ong Kok Fooi pada sesi interaksi bersama komuniti setempat setempat di Pusat Khidmat Rakyat KADUN Berabit di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEPENGGAL juga masa diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Lydia Ong Kok Fooi sejak tahun 2008 untuk menyelesaikan cabaran banjir kilat di sekitar kawasan Kampung Baru dan kawasan perumahan B Garden.

Lydia Ong dalam Jelajah Sedia Mendengar baru-baru ini memberitahu projek perparitan B Garden dimulakan pada tahun 2012 dan siap dirasmikan selepas Pilihanraya Umum Ke-13, dalam tahun 2013.

"Sejak tahun 1999 lagi, limpahan air hujan di B Garden mengakibatkan beberapa kawasan di Kampung Baru akan dilanda banjir kilat, tetapi saya mengambil masa sepenggal juga untuk menyelesaikan cabaran banjir di sini.

"Di tempat-tempat lain, saya berasa Berapit ini bertuah kerana di sini bukanlah kawasan banjir kilat.

"Kalau berlaku juga banjir kilat, mungkin disebabkan fenomena hujan lebat yang berterusan atau mungkin juga begitu banyak sampah tersekat pada parit laluan utama air di B Garden dan Kampung Baru," tegas Lydia Ong dalam sesi bual bicara baru-baru ini.

TIGA anak terpilih KADUN Berapit menerima bantuan seragam sekolah, dirakamkan lensa fotojurnalis.

LYDIA Ong Kok Fooi (dua dari kiri) gambar kenang-kengan selepas menyampaikan cek bantuan khas kepada seorang OKU, ditemani keluarga.


Sebelum itu, Lydia Ong menyampaikan bantuan seragam sekolah, saguhati sempena sambutan Hari Krismas dan sumbangan khas kepada seorang Orang Kurang Upaya (OKU) di Pusat Khidmat Rakyat KADUN Berapit di sini.

Berapit merupakan merupakan KADUN paling kecil dalam Parlimen Bukit Mertajam, berbanding Padang Lalang yang disandang oleh Chong Eng dan Lee Khai Loon yang mewakili Machang Bubuk.

Ada dua pasar awam sahaja di Berapit, iaitu Pasar Awam Kampung Baru dan Pasar Awam Berapit.

Langsung tiada masjid di Berapit, tetapi ada dua surau termasuk di Taman Jernih.

Daripada 19,895 pengundi berdaftar pada tahun 2008, 86 peratus adalah Cina, 10 peratus India dan 4 peratus lagi Melayu.

"Tetapi, Melayu sangat gembira, itu yang saya lihat di Surau Taman Jernih, kerana saya senantiasa memberikan komitmen pada permohonan dana atau projek infrastruktur yang dimohon tanpa melihat latar belakang pengundi saya ini.

"Peruntukan untuk anak-anak kita belajar Al-Quran pun saya beri kerana ini hak anak-anak kita," ujarnya.

Saban tahun katanya, beliau mendapat peruntukan infrastruktur sejumlah RM220,000, selain RM50 geran tunai untuk diagihkan kepada semua rakyat yang memerlukan.

"Semua ADUN dapat sama peruntukan daripada Kerajaan Negeri, ini sebenarnya adalah duit rakyat kerana rakyat lah yang membayar cukai," jelas beliau, selepas selesai Majlis Penyampaian Voucer Seragam Sekolah di Pusat Khidmat ADUN Berapit dekat Pusat Perniagaan Alma di sini.

PENGALAMAN

Lydia Ong terjun ke arena politik menjelang PRU12, dengan menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Tindakannya itu mengundang pelbagai reaksi, memandangkan ayahnya bernama Datuk Ong Chow Song adalah orang kuat GERAKAN dan pernah menjadi ADUN di negeri Kedah.

LYDIA Ong Kok Fooi pada sesi temu bual di Pusat Khidmat Rakyat-nya, selepas Majlis Penyampaian Bantuan Seragam Sekolah Peringkat KADUN Berapit dan program Jelajah Sedia Mendengar di sini baru-baru ini.


"Saya datang dari Pendang, Kedah, dan buat apa saya berbeza pendapat politik dan terjun dalam arena ini, lain tak bukan sebab kes Chee Gaik Yap.

"Semalam mereka buat masalah di pintu jiran saya, dan esok mungkin giliran rumah saya pula, jika saya tidak ambil bahagian secara politik untuk menghentikan semua ini," tegas Lydia Ong berkongsi rasa hati.

Difahamkan, Chee Gaik Yap adalah bekas penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dibunuh secara kejam selepas dipercayai dirogol, dengan mayatnya ditemui separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang lada awal pagi 15 Januari 2006.

25 Jun 2013 lalu, suspek pembunuh eksekutif pemasaran berkenaan yang bergelar ahli perniagaan dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dekat Alor Setar.

Lydia Ong berkata sehingga kini beliau lantang memihak pada kebenaran tanpa mengira sentimen parti kerana mengenangkan nasib gadis malang itu.

Lydia pernah menjadi Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti selama sepenggal selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 hingga Mei 2013, sebelum jawatan exco itu berpindah tangan  mkepada Chong Eng hingga kini.

PRU12 menyaksikan Lydia Ong mendapat 4,692 undi majoriti menewaskan pencabarnya, Lau Chiek Tuan.

Lydia Ong dalam PRU13 pada 5 Mei 2013 pula mendapat majoriti undi terbesar dalam sejarah semua calon DAP yang menang,  hatta pencabarnya daripada parti komponen Barisan Nasional hilang wang pertaruhan.

"Saya tidak pernah mencetak risalah atau kalendar tahunan menggunakan dana rakyat untuk mempopularkan diri, tapi kali ini saya mencetaknya (kalendar kecil), mungkin untuk penggal terakhir saya, sebagai kenangan," jelas Lydia Ong.


"MEMIHAK KEBENARAN"

Lydia memberitahu sejak bergelar Yang Berhormat, beliau tidak pernah membeza-bezakan rakyat di KADUN Berapit, atas sentimen kaum, agama atau sentimen kepartian.

Ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri, Lydia Ong berkata beliau senantiasa meluluskan peruntukan program yang dirasai akan menguntungkan rakyat, sungguhpun penganjur terbabit dikenal pasti mesra parti pembangkang. 

Kapsyen Gambar:
LIHATLAH keadaan salah satu jalan dekat KADUN Berapit yang begitu bersih, atas komitmen pasukan Lydia Ong Kok Fooi dan komuniti setempat kerap menganjurkan gotong-royong di sini. 

"Walaupun saya mewakili DAP, sebagai ADUN yang dipilih oleh majoriti rakyat harus memberi khidmat untuk semua rakyat, bukan pihak tertentu saya.

"Ketika menjadi Exco dahulu pun saya lantang memihak kepada kebenaran, kita saya menjadi ADUN sekarang pun inilah sikap saya.

"Dan, saya tak kisah dikenali sebagai 'Yang Berhormat' paling lantang dalam blok Kerajaan," seloroh Lydia Ong lagi.

ISU KEBERSIHAN, RUMAH MAMPU MILIK

Lydia Ong dalam sesi mesyuarat di Dewan Undangan Negeri antara yang lantang menuntut pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di atas sebidang tanah milik Kerajaan Negeri dekat KADUN Berapit.

Katanya, sejak tahun 2008 langsung tiada RMM dibina di Berapit, sama ada oleh Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri.

"Sejak beberapa sesi persidangan DUN Pulau Pinang, saya tidak pernah putus asa membawa isu RMM yang diperlukan oleh rakyat Berapit, dan saya yakin suatu hari ini hasrat ini akan dikotakan juga," jelas beliau.

LYDIA Ong Kok Fooi dalam lawatan kerja bersama-sama MPSP baru-baru ini menunjukkan sendiri keadaan salah sebuah pasar awam di Berapit yang begitu kotor, dan mungkin disebabkan kerja-kerja tidak serius oleh kakitangan kontrak PBT berkenaan.


Selain itu, Lydia Ong turut dikenali sebagai Yang Berhormat yang lantang mempertikai kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

"Sebelum MPSP mengambil pekerja-pekerja kontrak pembersihan, saya sudah menolak sebuah syarikat kontrak kerana syarikat itu tidak elok membersihkan kawasan kediaman tertentu di rumah keluarga saya di Sungai Petani Kedah.

"Jika ada kakitangan kontrak MPSP yang tidak serius melakukan kerja-kerja pembersihan di pasar awam dalam KADUN Berapit umpamanya, patut diganti dengan pekerja-pekerja lain yang elok.

"Di bahagian Pulau, cukup bersih dan hijau, tapi apabila datang ke bahagian Seberang Perai, keadaan tandas awam dan pasar awam jadi kotor.

"Kita mahu hidup yang selesa dan berkualiti untuk rakyat, maksudnya Pihak Berkuasa Tempatan perlu lebih bekerja keras," tegas Lydia lagi.

LYDIA Ong Kok Fooi baru-baru ini membawa rombongan JKKK sekitar Berapit 'makan angin' di luar Pulau Pinang, sebagai menghargai jasa mereka meningkatkan mutu kebersihan dan keselesaan penduduk setempat di sini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus