Skip to main content

Kajian dua tahun, cari solusi urus pengairan harungi kemarau panjang - Dr. Afif

DR. Afif Bahardin diberi penjelasan kecanggihan "MIG1", alatan penyembur racun dari udara ke petak sawah padi, selepas acara demonstrasi di sini tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

PINANG TINGGAL - Kajian lapangan Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Peringkat Persekutuan dan Negeri selama dua tahun sehingga 2018 pada keadaan tahap bekalan mentah air sungai tertentu di Pulau Pinang ini adalah berdasarkan pengalaman mengharungi musim kemarau panjang 'El Nino' pada tahun 2014 dan 2016.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Sempena Program Penjadualan Semula Air Untuk Tanaman Padi Bagi Negeri Pulau Pinang 2016.

"Kajian ini untuk tengok balik kesan daripada kemarau panjang, khususnya El Neno Super selama hampir tujuh bulan sejak awal tahun ini.

"Kajian ini akan melibatkan beberapa agensi, duduk berbincang, bagaimana sistem pengairan kita masih boleh berfungsi dengan baik, walaupun mungkin berdepan risiko kemarau panjang lagi kelak," jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di Rumah Pam JPS Bumbung Lima di sini tengah hari tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pertanian Negeri, Shahbani Ismail, Jurutera JPS Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Saiful Rizal Sanusi, Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Muhammad Fariz Othman dan Pengetua Institut Pertanian, Rozita Abdul Hamid.

Demi membantu kaum pesawah, Dr. Afif memberitahu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang akan menyediakan 40 unit pam air untuk membantu proses pengairan ke petak sawah, jika Pulau Pinang mengharungi sekali lagi musim kemarau panjang pada tahun hadapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri dan semua pesawah yang saling bekerjasama, dalam menjayakan pelan penjadualan bekalan air ke sawah daripada tiga jadual kepada lima jadual pada musim 'El Nino Super' lalu.

Difahamkan, Kerajaan Negeri mengambil langkah menangguhkan sementara aktiviti pengairan serta menyusun semula pengairan mengikut jadual, demi memastikan tiada catuan air yang diperlukan oleh 1.6 juta penduduk di Pulau Pinang dalam mengharuskan 'El Nino Super' lepas.

Pada majlis sama, Shahbani ketika berucap memberitahu aktiviti penanaman padi masih dua kali setahun pada kali ini, sungguhpun waktu menuai kali kedua dijadualkan pada awal tahun hadapan.

Memetik statistik Jabatan Pertanian Negeri, seramai 10,131 pesawah padi adalah jumlah tertinggi dalam kelompok petani sejumlah 13,850 orang di Pulau Pinang.

Pada tahun ini, seramai 47 individu daripada semua 52 penerima sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) juga adalah dalam subsektor tanaman padi.