Skip to main content

Joe Sidek harap dapat banyak proposal berkaitan Melayu untuk GTF 2017 sebelum 15 Jan.

JOE Sidek.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Penganjur dan penggiat muzik tradisonal Melayu dialu-alukan menghantar proposal acara untuk Festival George Town 2017 (GTF) sebelum 15 Januari tahun depan.

Kurator GTF, Joe Sidek berkata, pihaknya juga berhasrat untuk saling bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sendiri, demi mempopularkan lagi tradisi Melayu dalam festival bertaraf antarabangsa tersebut, selama hampir 2 bulan mulai 28 Julai hingga 3 September 2017 nanti.

"Di sini saya ingin merayu kepada pengauturcara dan artis tempatan untuk tampil ke hadapan dan berkongsi idea-idea mereka untuk perbincangan, persembahan dan acara-acara lain yang boleh menjadikan kita sebagai tuan rumah pada tahun hadapan," jelas Joe Sidek pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini, petang tadi.

Katanya, sejak 15 Oktober lalu lagi pihaknya memanggil semua pihak menghantar proposal cadangan acara, melalui borang rasmi yang disediakan www.georgetownfestival.com atau bersemuka sendiri di pejabat dekat Lebuh Armenian di tengah-tengah George Town Bandar Warisan Dunia UNESCO.

Sempena siri kelapan GTF 2017, Joe Sidek memberitahu pameran serta pertunjukkan antarabangsa meletakkan tumpuan pada ASEAN sempena meraikan ulang tahun ke-50 pada tahun 2017 pertubuhan gabungan antarabangsa tersebut.

"George Town Festival merancang untuk menganjurkan forum reka bentuk dengan kerjasama Southeast Asia Creative Cities Network (SEACCN)...melibatkan pereka kreatif, pembuat, penceramah dan pengamal reka kreatif dari Bandung, Cebu, Chiang Mai, Hanoi, Kuching dan George Town," jelas Joe Sidek sambil memberitahu bahawa GTF pada masa hadapan akan saling bekerjasama dengan pengasas London Design Festival.

Laksa of the Region (LOTR), Weekend On Women (WOW) merupakan antara program menarik dalam GTF akan datang.

Pada tahun 2016, festival ini mempunyai lebih 150 acara, termasuk 118 percuma untuk orang ramai.

Nilai perhubungan awam (PR) festival lepas mencecah RM20.05 juta, iaitu meningkat RM4 juta berbanding GTF 2015.