Skip to main content

Daftar masuk Universiti Awam di Sarawak, Sabah layak dapat RM1,200 mulai tahun depan, umum Guan Eng

KETUA Menteri (tengah) menyampaikan RM1,000 Bantuan Daftar Masuk Universiti kepada seorang mahasiswa, sambil disaksikan oleh barisan Exco Kerajaan Negeri lain di Dewan Milenium Kepala Batas di sini pada lewat petang tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD 

BERTAM - Mulai tahun hadapan, mahasiswa yang melanjutkan pengajian ke Universiti Awam di Sabah dan Sarawak sahaja akan diberi RM1,200 Bantuan Daftar Masuk Universiti Awam. 

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata pertambahan RM200 itu bagi menampung kos penerbangan mahasiswa peringkat sarjana muda dan diploma, sebagaimana disyor oleh kebanyakan ibu bapa baru-baru ini. 

"RM1,200 ini bukan diberikan pada kali ini, tapi untuk tahun hadapan, anak-anak yang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di Sabah dan Sarawak layak untuk menuntut daripada kita (Kerajaan Negeri) sejumlah RM1,200.

"Manakala, mereka yang mendaftar masuk ke Universiti Awam dan beberapa universiti terpilih lain di Semenanjung Malaysia layak mendapat bantuan sedia ada sebanyak RM1,000, seperti kali ini," jelas Guan Eng pada Majlis Penyampaian Bantuan Daftar Masuk Universiti Peringkat Seberang Perai di Dewan Milenium Kepala Batas di sini lewat petang tadi.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengakutan dan Utiliti), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan, Dato' Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir) dan Soon Lip Chee (ADUN Jawi).

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini sedar bahawa mahasiswa juga seperti rakyat, turut mengalami kos sara hidup yang tinggi serta menaikkan yuran pengajian di sesetengah Universiti Awam.

Katanya, kenaikan kos sara hidup mahasiswa adalah susulan pada kenaikan harga komoditi, bahan bakar serta langkah Kerajaan Pusat sejak 1 April 2015 melaksanakan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST).

Pada malam ini, seramai 498 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan 238 penuntut diploma dari Daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerima bantuan berwajib sejumlah RM736,000.

Bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPU), seramai 602 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan 215 penuntut diploma menerima bantuan berwajib sejumlah RM817,000.

Manakala, 289 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan 79 penuntut diploma lain dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menerima bantuan sama berjumlah RM368,000.

"Dalam tempoh lapan tahun (2008 hingga 2015), Kerajaan Negeri mencatatkan 'untung' (lebihan kewangan) sebanyak RM574 juta, berbanding RM373 juta (surplus) yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri terdahulu (era Barisan Nasional)  dalam tempoh 50 tahun (1957 hingga 2007).

"Hasil 'untung' ini,  Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun ini telah menyumbang kira-kira RM8,860,000 di Seberang Perai belakangan ini,  iaitu RM3,457,000 untuk pelajar universiti dari SPU, RM3,766,000 di SPT dan RM1,637,000 di SPS.

LEONG Khai Wen 

Sementara itu, penerima, LEONG KHAI WEN, 20, yang ditemui kemudian berkata RM1,000 Bantuan Daftar Masuk Universiti itu akan digunakan untuk membeli buku rujukan untuk sesi semester pengajian akan datang.

"Sebagai anak Pulau Pinang, saya bangga kerana dihargai oleh Kerajaan Negeri hari ini. 

"Lazimnya yuran pengajian dipotong (secara langsung) daripada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), maka bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri akan disimpan, untuk membeli buku rujukan yang diperlukan nanti," ujar beliau, mahasiswa tahun 1 Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Mahasiswa tahun 1 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), SITI NASIHAH ROSLI, 19, pula berkata RM1,000 itu akan digunakan untuk menampung kos sara hidup di kampus kelak, jika terdesak.

"Mesti rasa bertuah kerana Ketua Menteri sendiri menyampai bantuan RM1,000 ini, sangat bangga sebagai anak Pulau Pinang.

"Yuran pengajian lebih RM600 setiap semester, tapi saya fikir RM1,000 mungkin saya belanja untuk kecemasan ketika semua barang keperluan sekarang secara umumnya agak mahal," jelas Siti Nasihah.

P. Thiviyashni (dua dari kiri) bersama-sama N. Poopathi (paling kanan) dan A. Nawanitham tiga dari kiri) berpeluang merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Ketua Menteri selepas selesai Majlis Penyampaian Bantuan Daftar Masuk Universiti Peringkat Seberang Perai di Dewan Milenium Kepala Batas di sini lewat petang tadi.

Nada sama turut diluahkan oleh penerima,  P. THIVIYASHNI, 20, mahasiswa jurusan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Malaya dekat Kuala Lumpur.

"Saya begitu gembira, pertama sebagai anak jati Pulau Pinang yang dihargai oleh Kerajaan Negeri, dan kedua, saya bersama-sama ibu bapa saya berpeluang merakamkan gambar dengan Y.A.B. Lim Guan Eng.

"Saya masih tiada rancangan khusus untuk membelanja RM1,000 bantuan ini, tetapi kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur, sudah pasti saya akan berbelanja wang pemberian ini pada sesi pengajian akan datang," seloroh Thiviyashni diiringi ibu, A. Nawanitham, 49, dan bapa, N. Poopathi, 49.