Skip to main content

Najib jual Malaysia kepada China sebab Trump Presiden Amerika Syarikat?


"Kalau rakyat diperbodohkan dengan dakyah bahawa Najib menjual kedualatan negara, dibimbangi rakyat yang menjadi mangsa projek pembodohan ini akan faham Guan Eng juga menjual negara kepada Singapura."
- BJ Zainulfaqar Yaacob

Rencana | Pelabur China ke tanah air sejak zaman sebelum merdeka lagi dan mereka benar-benar melabur serta tidak menjajah kita.

Dulu, kolonial British datang ke tanah Melayu untuk menjarah hasil negara.

Neo-imperialisme Amerika melalui TPPA sekarang pun sebenarnya untuk menjajah ekonomi kita. 

British dan Amerika Syarikat tiada citarasa saling berkongsi dalam aktiviti pelaburan ekonomi, sebagaimana sikap jelitawan Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho yang datang ke Melaka.

Pada tahun 1974, perdana menteri Allahyarham Tun Razak Hussein ke China bertemu Mao Tse-tung dan perdana menterinya Zhou Enlai.

Pertemuan itu boleh dianggap sebagai hubungan diplomatik, dan boleh juga dianggap sebagai lembaran baru pelaburan China ke tanah air ini.

Sejak itu, siling gaji kerajaan lebih baik berbanding swasta kerana terpengaruh oleh dasar buruh di China. 

"Dasar rumah mampu sewa" juga dilaksana pada zaman Tun Razak.

Dasar-dasar pro rakyat ini juga mengambil kira tekanan politik dalam negara daripada parti-parti pro buruh, mahasiswa anti establishment serta gerakan kiri yang wujud ketika itu.

Pun begitu, menariknya China tidak ambil kesempatan atas cabaran politik dalaman yang berlaku di tanah air ini kerana kuasa besar itu hanya mengamalkan perkongsian pelaburan secara sederhanan.

Baru-baru ini, diumumkan pelaburan China ke Malaysia bernilai kira-kira RM144 bilion.

Pemimpin pembangkang tertentu berdakyah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu 'menjual kedaulatan negara'.

Saya juga anti individu yang merompak dana awam melalui 1MDB, tetapi saya tak setuju doktrin memperbodoh umat semacam ini.

Pelaburan China ke Malaysia adalah sama kedudukannya dengan pelaburan mana-mana negara lain.

Pelaburan China ke Malaysia ertinya akan menambahkan saiz industri, pelaung pekerjaan, menjana kuasa memberli dan kuasa produktiviti, serta yang paling penting adalah mewujudkan kesan berganda (multiplier effect) dalam ekonomi rakyat yang serba mencabar belakangan ini.

Membesarkan industri domesti ini sebenarnya adalah tanggungjawab Kerajaan, tetapi diusahasama oleh pelabur asing dan memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

Ogos tahun lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru memeterai satu perjanjian dengan dua pihak dari Singapura bagi pembangunan projek perdana Penyumberan Luaran Proses Perniagaan (BPO) di negeri ini, dengan RM1.3 bilion nilai pembangunan kasar (DGV).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, usaha sama PDC dengan Temasek serta Economic Development Innovations Singapore Pte. Ltd. (EDIS) itu membolehkan sebuah kompleks pejabat BPO perdana dibina di atas sebidang tanah milik PDC berkeluasan 6.8 ekar di Bayan Baru.

Ini contoh pelaburan asing dari Singapura yang menyumbang pada pertambahan Keluaran Dalam Negari Kasar (GDP) Pulau Pinang.

Kalau rakyat diperbodohkan dengan dakyah bahawa Najib menjualan kedualatan negara, dibimbangi rakyat yang menjadi mangsa projek pembodohan ini akan faham Guan Eng juga menjual negara kepada Singapura.

Ahli politik negara, sama ada di blok Barisan Nasional atau blok Pakatan Harapan perlu menghentikan projek pembodohan seumpaman ini.

Rakyat sebenarnya bijak, dan projek pembodohan seperti ini akan memperlihatkan kebodohan ahli politik kepartian terbabit sahaja.

Daripada satu segi lain, jika Malaysia mengambil sikap tidak diplomatiok dengan pelabur China, Malaysia tidak boleh bersendirian hidup dalam dunia yang maha kompleks ini.

Malaysia mungkin terpaksa berkiblatkat pada kaum pemodal dari Amerika Syarikat, yang sehingga kini seakan berjaya mengheret kedaulatan negara pada TPPA.

TPPA adalah contoh neo-imperialisme. Penjajahan orde lama adalah seperti British datang ke Tanah Melayu bukan untuk melabur tapi untuk memunggah hasil mahsul negara.

Penjajahan order baru adalah ikat negara-negara lain melalui TPPA supaya hegemoni ekonomi Amerika Syarikat menguasai pasaran negara-negara berkenaan.

Memang banyak kelemahan kalau ingin dituding kepada Donald Trump yang baru memenangi sesi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Sesuatu yang positif adalah Trump seakan dingin dengan TPPA yang mahu dilaksanakan Rumah Putih.

Trump tidak mahu Rumah Putih membiayai ketenteraan NATO kerana pertubuhan global itu sudah tidak relevan sejak temboh Soveit Union runtuh.

Trump juga tidak mahu dana awam Amerika Syarikat membiayai kos ketenteraan di negara-negara yang diceroboh sebelum ini.

Trump mahu pemodal-pemodal dunia kembali membawa kilang dan firma secara industrilisasi ke Amerika Syarikat supaya warganegaranya lebih mendapat manfaat ekonomi berbanding sekarang.

Trump juga seakan percaya bahawa saiz hutang negara yang kian besar akan membankrapkan Amerika Syarikat jika tidak dibendung perbelanjaan-perbelanjaan untuk dasar-dasar luar tertentu ini.

Sebenarnya, negara tidak akan bankrap kerana sistem mata wang fiat adalah nilai yang diberikan secara peraturan dan undang-undang negara; bukan gambaran sebenar ekonomi akan runtuh jika ditangani secara birokrasi kewangan yang bijak.

Mujur Trump menewaskan pencabarnya, Hillary Clinton yang pro pada ketenteraan, mahu memusuhi negara-negara ekonomi negara secara neo-imperialisme, pro TPPA dan banyak lagi onar lain.

Dengan ertikata lain, kecenderungan politik Trump adalah memakmurkan eknonomi domestiknya sahaja, dan itu cukup baik untuk Malaysia jika TPPA tergendala nanti jika Presiden AS memberikan isyarat sebegitu.

Pemimpin Malaysia sepatutnya mengambil sikap seperti Trump, saling berusaha untuk memulihkan semula industri domestik, cenderung untuk mengekang perbelanjaan tidak produktif yang tidak memberi keuntungan terbanyak kepada rakyat dll.

Malaysia pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu sudah melaksakan 'Dasar Pandang Ke Timur' dan Jepun juga seperti China datang melabur, mengambil sikap berkongsi dengan Malaysia semua hasil pelaburan bersama.

Bagus Malaysia menggalakkan pelaburan China ke Pulau Pinang juga, supaya meningkatkan GDP negeri ini.

Pembangkang jangan memandang remeh mengenai kejayaan Najib membawa masuk pelaburan China ke negara ini.

Ini kerana, pelaburan China ini akan menjana kuasa produktiviti dan kuasa membeli rakyat.

Walaupun pembangkang pernah mendapat undi popular 51 peratus di Semenanjung Malaysia pada PRU13 5 Mei 2013 lalu, jangan ingat rakyat akan bersama kita jika kita tiada solusi ekonomi yang lebih baik untuk memakmurkan kehidupan rakyat terbanyak di PRU14 akan datang?

Jangan sampai rakyat meluat dengan politik demokrasi Pakatan Harapan yang tidak produktif dan kembali memberi sokongan kepada Umno Barisan Nasional atas usaha Najib memulihkan iklim ekonomi yang kian mencabar ini.

Ini amaran untuk blok pembangkang!

Setuju?


______________
#DEKPOS atau Diskusi Ekonomi Politik Sosial ini adalah projek wacana kecil-kecilan secara peribadi blogger Zainulfaqar Yaacob. Penulis boleh dihubungi atas talian 0194241583.