26 September 2016

Exco bentang pelan induk tebatan banjir SPT

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan), Sabri Abdul Mulok  (paling kanan) dan tiga kain pada sidang media perbentangan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Saliran Mesra Alam Daerah SPT di sini tengah hari tadi. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Pelan Induk Tebatan Banjir dan Saliran Mesra Alam Seberang Perai Tengah (SPT) mampu mengurangkan kawasan banjir sedia daripada 55 kilometer persegi kepada 15 kilometer persegi atau menyamai 82 peratus lokaliti di daerah berkenaan, jika dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun mulai 2017.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata pelan tersebut akan dijadikan rujukan utama kepada sektor awam dan swasta dalam melaksanakan pembangunan masa depan negeri.

"Tujuan utama kajian ini adalah bagi menyediakan suatu pelan jangka panjang (2030) bagi mengatasi masalah banjir dan sistem saliran sedia ada dan akan datang, dengan mengambil kira kriteria aspek kawalan kualiti dan kuantiti selaras dengan keperluan Manual Saliran Mesra Alam (MASMA).

"Setelah siap TMP (Pelan Induk Pengangkutan), kini Kerajaan Negeri mewujudkan suatu pelan induk untuk menangani isu banjir kilat mengikut daerah pula.

"Pelan induk ini akan mengurangkan 82 peratus kawasan yang seringkali dilanda banjir, merangkumi pelindungan sehingga ke tahap 50 tahun ARI (Ulang Tahun Kejadian)," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kepada pemberita di sini tengah hari tadi.

Turut serta, tiga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK) Tebatan Banjir lain, Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti), Lim Siew Khim (ADUN SUngai Pinang) dan Soon Lip Chee (ADUN Jawi).

Kon Yeow memberitahu cadangan pelaksanaan pelan induk peringkat SPT sahaja dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1 bilion. 

Difahamkan, Pelan Induk Tebatan Banjir dan Saliran Mesra Alam Daerah-Daerah Negeri Pulau Pinang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok membentangkan pelan induk tersebut.

Pelan tersebut, menurut Sabri, memuatkan peta kawasan banjir berbahaya, pelan cadangan aras ketinggian tapak pembangunan masa depan, informasi kelebaran rezab sungai dan parit serta syor pengindahan landskap koridor sungai.

"Sistem informasi diekstrak menjadi GIS (sistem maklumat geografi)...meliputi kawasan yang terdedah kepada bahaya banjir berserta aras banjir untuk kalaan lima tahun hingga 100 tahun Average Recurrence Intervals (ARI) untuk guna tanah semasa dan akan datang.

"(Ketinggian) aras platform cadangan untuk sebarang projek pembangunan baru turut disediakan untuk rujukan semua sektor awam dan swasta, supaya bebas daripada masalah saliran dan banjir kelak," jelas Sabri.

Berdasarkan kajian JPS, katanya lagi, pelaksanaan pelan induk secara menyeluruh di SPT dijangka mengurangkan hampir 100 peratus risiko banjir, yang membabitkan kira-kira 12,500 penduduk terbabit kelak.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus