Skip to main content

P.Pinang tawar tanah untuk pusat bina 300 'Rumah Hijau Mak Mandin', pemuda PAS Bagan tahu?


Pengerusi Pertubuhan Penduduk Rumah Hijau Mak Mandin, Sim Siang Kuang bersalaman dengan Guan Eng, pada satu majlis di sini, 3 Julai 2012


Zainulfaqar Yaacob
2 Jun 2016

Perwakilan Pulau Pinang, Sdr. Hafiz Alias dalam Muktamar Pemuda PAS sntara lain menuduh Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng menjual tanah milik Melayu, hatta kaum minoriti itu tiada lagi tempat tinggal di negeri ini. 

Walhal pada 3 Julai 2012 lalu, Pulau Pinang pernah menawarkan sebidang tanah milik Kerajaan Negeri berhampiran Rumah Hijau Mak Mandin, Butterworth untuk dibeli oleh kerajaan pusat lalu dibina lebih 300 unit rumah pangsa bagi penempatan semula penduduk berwajib. 

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, cadangan tanah seluas 2.06 ekar berhampiran jalan utama melalui Jalan Mak Mandin 5 itu turut dipersetujui oleh Persatuan Penduduk Rumah Hijau Mak Mandin. 

"Pada minggu lepas, kami (Kerajaan Negeri) telah berbincang dengan penduduk kawasan (Rumah Hijau Mak Mandin) untuk memilih tapak ini supaya kerajaan pusat boleh membina rumah mampu milik penempatan semula lebih 300 penduduk berkenaan ke tempat ini," ujarnya ketika itu.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng turut menyertai Guan Eng meninjau tanah berkenaan yang kini masih menempatkan tiga rumah kedai, sebuah stor dan dua bengkel membaiki kenderaan berat tanpa kelulusan Kerajaan Negeri. 

Didapati, tapak yang dicadangkan itu strategik kerana berdekatan dengan sekolah, balai polis, masjid dan dikelilingi kawasan pembangunan bercampur.

Maka Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, satu surat rasmi susulan serta pelan lokasi tanah telahpun diutuskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus kepada Datuk Ramlan Harun (Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) pada 29 Jun lepas.

Beliau berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung diharap dapat turun menyaksikan tapak berkenaan lalu menyegerakan proses susulan demi kepentingan penduduk berwajib. 

"Seperti yang dipertegaskan, penduduk asal (Rumah Hijau Mak Mandin) bukan 70 keluarga tetapi lebih 300 keluarga yang kebanyakkan berpindak ke rumah pangsa Ampang Jajar. 

"Maka, lebih 300 unit rumah mesti dibina. Semua penduduk asal mesti diberi pilihan, sama ada untuk kekal di Ampang Jajar atau berpindah ke rumah baru yang lebih dekat dengan Rumah Hujau Ampang Jajar ini. Itu lah yang dituntut oleh persatuan penduduk," ujarnya. 

Sementara itu, Hock Seng turut berkata, beliau tidak pernah menabur janji kososng kononnya untuk memindah kembali semua penduduk berwajib ke Rumah Hijau Mak Mandin semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lepas seperti yang dituduh oleh Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Bagan, David Chua.

"David Chua dicabar tunjuk bukti bahawa saya pernah berkata demikian. Kalau tidak, dia tak jujurlah. 

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang (era) Barisan Nasional dulu sepatutnya tak menswastakan tanah itu sehingga mengabaikan kehidupan rakyat...tetapi, patut bina rumah kos rendah di sana (tapak Rumah Hijau Mak Mandin)," ujarnya. 

Penduduk asal Rumah Hijau Mak Mandin dilihat terpinggir sejak 2004 lagi apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Barisan Nasional sanggup menjual tanah itu kepada pihak swasta. 

Pun begitu, pentadbiran Guan Eng sejak mengambil alih Kerajaan Negeri pada Mac 2008 lepas enggan mengusir lebih 70 keluarga berbaki di atas tanah berkenaan sungguhpun terpaksa berdepan risiko disaman oleh pemilik tanah dan pemaju sekarang. -END