Skip to main content

Fleksibel masa tapi sukses kerja...

Selepas gotong-royong bersih Tadika ABS Bertam lewat petang tadi, bergegas ke klinik. Isteri muda cantik jelita Siti Hajjar Hassan cirit-cirit, mungkin keracunan makanan atau sebagainya. Kalau mengaji ilmu falak, ada waktu tertentu usus akan jadi tak selesa sebab parasit dalam perut 'berdangdut', dikaitkan dengan fenomena bulan dan graviti (Wallahu 'alam tak tahu betul ke tidak dogma ini). Harap ok. Amin Ya Syaafiyy. #Instagram 3 Jun 2016 jam 8.32 malam di Klinik Aman, Padang Lalang.

TERINGAT CERITA SEDIH DI UNIVERSITI MALAYA...

Masa zaman Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya, jentera PMIUM antara lain menekankan soal mengurus masa.

Kalau boleh semua mesyuarat mesti kena tepat mula dan segera habis mengikut agenda.

Kononnya, itu simbol intima' (komitmen) dan inthibad (disiplin) tiap-tiap abna' al-harakah di jalan jihad ini.

Baik di peringkat qiyadah ataupun jundiyah ada yang mengambil penting aspek jagaan masa.

Sampai ada yang mengabaikan hak-hak badan seperti rehat dan memandu motosikal laju dari dewan kuliah kerana nak sampai tepat waktu di tempat mesyuarat.

Suatu hari, kami yang dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menerima berita buruk mengenai seorang siswi yang cukup komited dengan amal jamaie meninggal dunia.

Macam-macam ulasan sampai ke telinga saya sendiri waktu itu, antaranya kerana arwah kurang rehat.

Dan, ada yang menyebut beliau kemalangan kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya, sebab nak tepati masa mesyuarat jentera.

Hati saya remuk semasa itu. Kerana, saya antara peribadi yang mengajar diri supaya disiplin bab masa dan seringkali bercakap hal masa ini pada tiap-tiap mesyuarat jentera, khususnya dalam jawatankuasa media dan propaganda.

Semasa itu, dogma saya berubah sedikit. Sesuatu yang baik sebenarnya tidak mesti menatijahkan kebaikan.

Bukan  tidak baik menjaga masa. Tetapi, jika menjaga masa sampai tidak rehat dan memandu dalam kondisi berbahaya, lain natijahnya.

Sejak itu, saya akan fleksibel bab masa. Saya dapat isteri dan anak pun yang cukup fleksibel bab masa.

Bagi kami sekeluarga, yang penting adalah natijah tiap-tiap aktiviti kami adalah sukses sungguhpun kami fleksibel bab masa.

Sampai memandu pun, kami cukup fleksibel bab masa. Kalau mengantuk ketika memandu, di bahu jalan mana pun asal kawasan selamat, kami akan berhenti tidur sampai kembali segar.

Ustaz Wan Ji At-Ta'addudi yang saya cukup sayang pernah sebut, "dahulu aku kata ke hang tapi sekarang aku pun tidur macam hang dalam kereta."

Bagus Ustaz Wan Ji yang selalu bermusafir jauh, tetapi kian fleksibel bab masa serta jaga hak badan dan hal keselamatan dalam memandu.

Kepada mereka yang membaca contengan ini, hati-hati ketika memandu.

Al-Fatihah!