Skip to main content

Tempur 12 pesilat muda sambut Presiden PKR di Jelajah Semarak Kasih Permatang Pauh



Zainulfaqar Yaacob
16 Mei 2016

PERMATANG PAUH - Persembahan aksi tempur 12 pelatih muda Silat Seni Warisan Tok Guru Mufni menyambut Presiden PKR Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam program Jelajah Semarak Kasih (JSK) di Kampung Simpang 4 Permatang Batu semalam.

Dr. Wan Azizah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Dr. Afif Bahardin yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan. 

Ketua Cabang Permatang Pauh Amir Amir Haji Ghazali memberitahu , JSK selama dua hari berakhir semalam dianjurkan sempena sambutan kemenangan lebih setahun Dr. Wan Azizah atau mesra dipanggil "Kak Wan" sebagai Ahli Parlimen di sini. 

"Ini juga sebagai ingatan bahawa perjuangan reformasi yang digagaskan oleh saudara (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tak pernah pudar dengan 'Deklarasi Permatang Pauh' pernah dibuat oleh rakyat sendiri dahulu, walaupun jasad Ketua Umum PKR itu masih terpenjara. 

"Ada tiga elemen JSK ini iaitu ziarah semua ranting PKR di Permatang Pauh, majlis sumbangan kebajikan kepada sokongan terpilih dan acara rasmi pemasangan papan tanda parti di peringkat ranting . 

"Paling istimewa adalah di Kampung Simpang  Permatang Batu yang dahulunya dikenali sebagai antara kubu kuat Umno tetapi telah berjaya dipecah hasil kerja buat 12 anak muda tempatan yang menjalankan aktiviti silat dengan sokongan orang-orang lama di sini," kata Amir yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon.

Di sini,  katanya lagi, "Rumah Hijau" yang dahulunya sebagai pusat operasi politik Umno,  tetapi berubah menjadi pusat pengajian agama dan kebudayaan solat, hasil inisiatif 12 anak muda terbabit.

"Silat ini memang kita (PKR) perlu angkat kerana ini bukan setakat kebudayaan dan jati diri anak Melayu kita.

"Silat akan memupuk keberanian bukan sahaja di gelanggang tempur, tapi keberanian untuk melawan rasuah serta penyalahgunaan kuasa dan duit di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," tegas Amir. 

Ceramah Umum Pakatan Harapan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Pasir menutup tirai program JSK yang buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh PKR tahun ini.