Skip to main content

'Saya bukan robot, boleh ingat semua,' Jahara respons asakan di DUN P.Pinang


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN 

GEORGE TOWN - Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid pada awal sesi pagi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang seakan menerima asakan kuat daripada Exco Perancangan Bandar & Desa Dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo di sini.

Jahara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar berkali-kali didakwa "tidak ingat" mengenai beberapa tuduhan yang dilemparkan sebelum ini, kononnya Kerajaan Pulau Pinang hari ini tiada hasrat untuk membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) di 1.2 ekar tanah berhampiran Taman Manggis.

Dedah Jagdeep, Kerajaan Negeri terdahulu di bawah Barisan Nasional sebenarnya tidak pernah berhasrat untuk membina fasa kedua PPR di atas tanah lapang tersebut.

Itu, katanya berdasarkan potongan minit Mesyuarat Exco bertarikh 28 Mac 2007 dan disahkan minit tersebut pada 4 April 2007, berkenaan pembangunan projek perumahan di atas tanah seperti yang dinyatakan dalam Kertas Bil. 120/2007.

“Keputusan Majlis (Mesyuarat Exco) ketika itu mengambil maklum Kertas tersebut dan bersetuju dengan perakuan-perakuan seperti di perenggan 9 dan menolak permohonan tersebut (untuk membangunkan projek perumahan PPR di atas baki tanah berkenaan),” ujar Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat ketika membaca dokumen rasmi kerajaan berkaitan, pada sesi soal jawab lisan di DUN di sini.

Bagaimanapun katanya, hasil semakan pihaknya mendapati bahawa cadangan bagi tahun 2003 itu telahpun digantikan dengan cadangan lain pada tahun 2005 supaya tapak tersebut dibangunkan dengan projek campuran iaitu pembinaan rumah kedai dan kuarters kerajaan.

“Cabutan butir-butir Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang yang ke-34 bertarikh 28 September 2005, Perenggan 16.3 jelas menunjukkan cadangan memorandum 2003 telah diganti dengan satu cadangan baru pada tahun 2005 bagi membangunkan projek bercampur iaitu rumah kedai dan kuarters kerajaan di atas baki tanah tersebut,” katanya.

Selain minit mesyuarat Exco, Jagdeep memberitahu terdapat satu surat rasmi daripada Timbalan Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang yang ditujukan kepada Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan) bertarikh 10 Mac 2009 bagi menjawab pertanyaan Exco berkenaan berhubung keseluruhan tapak di Taman Manggis (PA 4419 Jalan Burmah).

Katanya, antara isi kandungan surat tersebut menyatakan bahawa melalui semakan yang dibuat oleh PTG, lot-lot tersebut (Lot 314 dan 305) merupakan tanah kerajaan yang merupakan sebahagian dari PPR Lorong Selamat/Jalan Zainal Abidin.

Malah, tambah beliau, tapak tersebut juga pernah dipohon oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi tujuan PPR Lorong Selamat/Jalan Zainal Abidin, tetapi telah ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 28 Mac 2007 dan disahkan pada 4 April 2007.

“Keputusan dan pengesahan butir-butir serta dokumen ini adalah seperti yang dibacakan di atas. Dan ini secara jelas menunjukkan ada permohonan untuk membina unit-unit PPR daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan tetapi ditolak oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

“Jadi, ini dengan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri terdahulu sememangnya tiada hasrat untuk membangunkan PPR di atas baki tanah di Taman Manggis tersebut,” tegas Jagdeep lagi.

Lanjutan itu, Jagdeep terus mengasak Jahara untuk mendedahkan di DUN mengenai perkara yang sebenar berhubung isu berbangkit tersebut.

"Pertama, adakah YB (Jahara) adalah Exco ketika itu? Adakah YB ingat bahawa YB hadir pada mesyuarat Exco pada 28 September 2005?

"Senang untuk membuat tipu muslihat, tetapi kalau tak ingat kita mesti tak ingat semuanya.

"Boleh rujuk memo  (minit mesyuarat Kerajaan Negeri) tahun 2003 tetapi tidak boleh rujuk (minit mesyuarat Kerajaan Negeri) tahun 2005...ada ingatkan semuanya sekarang?

"Mengapa tidak boleh mengingat fakta ini semua sedangkan boleh membuat sesuatu yang tidak baik kepada rakyat Pulau Pinang," asak Jagdeep ke atas Jahara.

Ekoran itu, Jagdeep mengasak Jahara memberi penjelasan sebab musabab merujuk suatu memo pada tahun 2003 sahaja untuk menunjukkan Kerajaan Negeri terdahulu berhasrat untuk membina PPR di Taman Manggis, dalam kenyataan media kepada TV3 24 Mac lalu.

ADUN Seri Delima, R.S.N Rayer ketika celahan turut mendedahkan rakaman video tuduhan Jahara itu, yang pernah disiarkan dalam TV3 pada 24 dan 25 Mac lalu.

Selepas diasak, Jahara berulang kali berdalih, "saya pun manusia juga dan bukan robot...saya bukan robot, bukan ingat semua."