Skip to main content

Ropewalk Bagan perlu Co-opbank, P.Pinang perlu 'owned-state bank', kata Zolkifly Md. Lazim



Teks Ucapan
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KOPERASI PASAR ANEKA TAMAN SELAT BUTTERWORTH BERHAD (KPATSBB) DI RESTORAN PAN-MUTIARA ROPEWALK BAGAN PADA SELASA, 24 MEI 2016 JAM 3.00 PETANG.

BismiLllahirrahmanirrahim.

Yang Berusaha Tuan Nasoruddin Shah Mat, Pengerusi Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB);

Barisan kepemimpinan ko-op serta para anggota koperasi pinjam-meminjam mikro kredit ini;

Para pemerhati serta pengamal media (jika ada); dan

Seterusnya hadirin-hadirat sekalian.

Assalamualaikum warahmatuLlahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada KPATSBB di bawah kepemimpinan Tuan Nasoruddin Shah Mat atas beberapa kejayaan koperasi pinjam-meminjam ini.

2. Pertama, saya diberi peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar ko-op ini, iaitu sebagai Penaung KPATSBB.

3. Kedua, kejayaan KPATSBB ini sendiri memberi pinjaman mikro kredit kepada lebih 150 daripada keseluruhan 250 anggota koperasi, secara tanpa riba hingga membunuh sindiket "ah long" di sekitar kawasan ini. Tahniah!

4. Ketiga, rekod hutang tak berbayar atau NPL (non performing loans) koperasi kita ini kekal direkodkan sifar, sesuatu yang sukar dicapai oleh Bank Ko-op atau bank konvensional sendiri.

5. Saya dimaklumkan, rekod NPL sifar ini mendorong beberapa badan berkanun serta agensi persekutuan berwajib beberapa kali datang berkunjung dan belajar daripada Tuan Nasoruddin, bagaimana KPATSBB sebagai pertubuhan koperasi yang melaksanakan aktiviti pinjam-meminjam boleh mencapai NPL sifar?

Hadirin-hadirat sekalian,

6. Kerajaan Negeri di bawah Penang Development Corporation (PDC) sendiri pada tahun 2009 ada menubuhkan tabung pinjam-meminjam yang dikenali sebagai PTSR atau Program Titian Saksama Rakyat, dengan peruntukan kira-kira RM9 juta untuk membantu kaum penjaja dan peniaga kecil di negeri ini.

7. Sehingga 1 April 2015, sebanyak RM8.5 juta (RM8,524,630.40)  telahpun diagihkan kepada 2,016 peminjam.

8. Mengikut pecahan kaum, 1,691 Melayu dipilih menerima pinjaman PTSR ini, manakala, Cina dan India masing-masing seramai 159 orang dan 169 orang.

9. Ke mana saja saya pergi, akan saya sebut bahawa PTSR yang ditubuhkan oleh Dato' Mansor Othman dan kini diurus oleh Dato' Mohd. Rashid Hasnon atas kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang ini adalah salah satu enjin ekonomi yang banyak membantu rakyat, khususnya kaum penjaja dan peniaga Melayu.

10. Sebagai rekod juga, 88 peratus pinjaman PTSR berjaya dikutip balik, dengan kadaran NPL hanya 12 peratus sahaja.

11. Dengan kadaran sifar NPL yang dicapai oleh KPATSBB ini, jika Tuan Nasoruddin masih memimpin pertubuhan koperasi ini, mungkin boleh meneroka kaedah supaya pengalaman dan kepakaran yang ada boleh meluaskan manfaat dengan membantu PTSR di bawah Kerajaan Negeri hari ini.

Hadirin-hadirat sekalian,

12. Sesungguhnya Co-opbank  Persatuan yang berdiri gagah di Taman Selat asal penubuhannya pada 7 November 1950 dahulu mesyuarat seperti kita pada petang ini, di beranda sebuah masjid dekat Permatang Pauh sahaja.

13. Kemudian, para pemimpin negara angkat pertubuhan koperasi itu menjadi sebuah Co-opbank, berdasarkan Akta Koperasi 1993. 

14. Ertinya, Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad  (KPATSBB) ini perlu qasad niat, impian serta iltizam bahawa suatu hari nanti kita pun akan menjadi sebuah Co-opbank, untuk membantu potensi kaum peniaga dan penjaja kecil, yang peranan kita ini jauh lebih bermanfaat daripada pakej pinjam-meminjam yang ditawarkan Co-opbank Persatuan atau 'bank niaga' Public Bank.

Hadirin-hadirat sekalian,

15. Kebetulan Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng adalah Ahli Parlimen Bagan, semoga kepemimpinan KPATSBB dapat pergi berunding supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini dapat membantu sesuatu ke arah penubuhan Co-opbank di negeri ini.

16. Sebagai langkah awal, mungkin KPATSBB perlu membuat persiapan ke arah menguruskan sebahagian dana PTSR, untuk membantu peniaga Melayu, kerana 1,691 peminjam mikro kredit di bawah Kerajaan Negeri hari ini pun sebagai rekod daripada Melayu.

17. Dengan bantuan KPATSBB, PTSR pun boleh mencapai NPL sifar, sekaligus mampu menangkis dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh pentadbiran Guan Eng menindas orang Melayu di Pulau Pinang.

Hadirin-hadirat sekalian,

18. Terlanjur berbincang mengenai peranan bank sebagai penggerak ekonomi ummah, banyak pihak di luar sana kurang memahami bahawa bank di negara ini terdiri oleh dua jenis.

19. Jenis pertama adalah bank konvensional seperti Maybank, CIMB, BIMB, BSN dan banyak lagi, yang menjalankan khidmad menyimpan tunai serta pinjam-meminjam. Sebagai contoh, jika saya mahu membuat pinjaman peribadi, penyata kewangan atau penyata gaji saya boleh dijadikan cagaran.

20. Jenis kedua, ialah investment bank atau di negara ini disebut sebagai bank pembangunan atau bank perdagangan (merchant bank). Sebagai contoh, Arab Malaysian Merchant Bank Berhad yang memberi khidmat nasihat berhubung dengan percantuman, pengambilalihan, penyusunan dan usaha sama di kalangan syarikat, memberi khidmat nasihat berhubung aspek pelaburan dan pengurusan portfolio, menanggung jamin terbitan syer, menerima deposit dan menerima simpanan serta menguruskan pinjaman bersindiket.

21. Di bank pembangunan ini, tak perlu cagaran, tetapi kita perlu mengemukakan proses niaga kita untuk melayakkan kita mendapatkan sejumlah pinjaman modal. 

22. Contoh paling dekat, saya sendiri, hampir 20 tahun lalu membuat pinjaman pelaburan untuk membuka D'BM Hospital di Permatang Pauh serta dua hospital bersalin lain dengan hanya mengemukakan prospek niaga saya tanpa cagaran, untuk melayakkan saya mendapatkan pinjaman modal.

Hadirin-hadirat sekalian,

23. Pada 14 April lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan bertitah cadangan supaya kerajaan negeri menubuhkan sebuah bank sendiri yang boleh dinamakan Bank of Johor.

24. Dalam fikiran saya, kalau sebuah koperasi boleh menubuhkan Co-opbank Persatuan, mengapa sebuah negeri seperti Pulau Pinang sendiri yang mempunyai rizab tunai kira-kira RM1.29 bilion tidak boleh meneroka ke arah penubuhan sebuah bank?

25. Benarkah larangan Pulau Pinang untuk untuk membuat pinjaman awam daripada mana-mana bank dan hanya boleh meminjam daripada Kerajaan Persekutuan, sekaligus melarang melarang sebuah penubuhan owned-state bank di Pulau Pinang?

26. Dan, bagaimana pula dengan kedudukan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan di lokasi bertaraf negeri persekutuan?

27. Untuk Long Range Planning (baca: melakukan sesuatu untuk melengkapkan sesuatu rancangan lain), tidak bolehkah sebuah negeri meneroka jalan dengan rakan kongsi mana-mana bank pembangunan sedia ada seperti Arab Malaysian Merchant Bank Berhad, sementara mengambil kekangan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan lesen perbankan peringkat negeri?

Hadirin-hadirat sekalian, 

28. Ada suatu buku berjudul The Japanese Main Bank System: Its Relevance for Developing and Transforming Economy, ditulis oleh
Masahiko Aoki dan Hugh T. Patrick - (1994), di bawah Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang baru-baru ini pun kita bincang.

29. Ringkasnya, buku ini menjelaskan mengenai keupayaan sebuah bank menjalankan spekulasi kewangan di Jepun selepas pengeboman nuklear di Nagasaki dan Hiroshima melakukan perbandaran semula (re-urbanisation). Dua bandar itu hancur, tetapi bagaimana syarikat-syarikat di sana tanpa sebarang cagaran membangunkan semula ekonomi bandar, dengan sokongan bank pembangunan di sana?

30. Apa yang ingin saya sebut di sini, Kerajaan Pulau Pinang hari ini boleh meneroka beberapa persoalan yang saya sebutkan sebelum ini ke arah menubuhkan owned-state bank, memandangkan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) bernilai asal RM27 bilion dan mungkin mencecah lebih RM40 bilion mahu dilaksanakan di negeri ini.

31. Henry Ford ada menyebut, “Barangkali ada bagusnya rakyat Amerika pada umumnya tidak mengetahui asal-usul perbankan dan sistem kewangan, karana jika mereka mengetahuinya, saya yakin esok pagi akan tercetus revolusi.
"It is well enough that people of the nation do not understand our banking and monetary system, for if they did, I believe there would be a revolution before tomorrow morning", Henry Ford quotes.

32. Saya tinggalkan kata-kata ahli bijak pandai itu untuk semua perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan berfikir, mungkin membantu ke arah menggerakkan Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad  (KPATSBB), sekurang-kurangnya menjadi rakan kongsi-urus PTSR di bawah Kerajaan Negeri atau lebih baik ke arah menubuhkan Co-opbank sendiri.

Selamat bermesyuarat.

Semoga sukses!


Zolkifly Md. Lazim