Skip to main content

Jika Pusat lulus 120 TP1M, penduduk flat tak perlu keluar walau sesen, kata Exco Perumahan

JAGDEEP Singh Deo


Zainulfaqar Yaacob
22 Mei 2016 | 12.33 tengah hari 

GEORGE TOWN - Penduduk di negeri ini sepatutnya tidak perlu membayar sesen pun untuk projek penarafan di kediaman masing-masing, sekiranya Kerajaan Pusat meluluskan baki 120 lagi permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) ke negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, Perbadanan Pengurusan Lot 3385 Taman Bagan Butterworth sendiri memohon TP1M sebanyak tiga kali, tetap sehingga kini tidak diluluskan.

Susulan itu, katanya, Kerajaan Negeri membiayai 80 peratus kos naik taraf tangki air di sini yang berjumlah RM25,600, manakala baki RM6,400 lagi terpaksa ditanggung oleh penduduk setempat.

"Di bawah TP1M, Kerajaan Pusat menanggung 90 hingga 70 peratus, manakala baki 10 peratus hingga 30 peratus yang sepatutnya ditanggung oleh badan pengurusan bersama (JMB) atau persatuan penduduk (PP), akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

"Ertinya, projek seumpama ini percuma dan penduduk tidak perlu keluar apa-apa walau sesen pun jika Kerajaan Pusat meluluskan TP1M untuk projek ganti tangki (yang bernilai keseluruhan) RM32,000 ini, kerana baki 20 peratus (RM6,400) akan dibayar oleh Kerajaan Negeri melalui skim HAPPY (Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang)," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, pagi tadi.

JAGDEEP Sing Deo (depan, lima dari kiri), Lim Hock Seng (depan, tiga dari kiri), A. Thanasekharan (depan, enam dari kiri) merakamkan gambar bersama-sama pemimpin komuniti serta penduduk setempat Taman Bagan di sini pagi tadi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal dan A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) turut berucap pada Majlis Perasmian Siap Projek Naik Taraf Tukar Ganti Tangki Air Lot Lot 3385 Taman Bagan Butterworth.

Hadir sama, dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) lain.

Jagdeep memberitahu, peruntukan untuk projek penyelenggaraan rumah flat mampu milik 'Type A' dan 'Type B' kini berjumlah RM2.8 juta.

Dan, beliau menyatakan bahawa pihaknya ada merayu kepada pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng supaya menambah lagi jumlah peruntukan itu, selagi Kerajaan Pusat tidak meluluskan baki TP1M dari negeri ini.

Sejak tahun 2012 sehingga kini, Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru meluluskan 24 TP1M untuk rakyat Malaysia di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memuji Pengerusi Perbadanan Pengurusan Lot 3385 Taman Bagan Butterworth, Tan Choo Beng kerana mengagihkan 100 kampit beras kepada para penduduk yang berjaya melunaskan semua caj penyelenggaraan masing-masing kepada JMB.

Manakala, Thanasekharan pula memohon Kerajaan Negeri mempertimbang syor Choo Beng untuk memajukan sebuah dewan serbaguna yang diperlukan oleh komuniti setempat di sini.