14 April 2016

Segerakan pembenihan awan hadapi El Nino di empat negeri, Guan Eng pula gesa Pusat

KETUA Menteri menunjukkan muka hadapan akhbar China Press, pada sidang media di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Pusat melakukan pembenihan awan di sekitar Utara Semenanjung Malaysia berikutan fenomena El Nino, kerana bimbang dengan keadaan terbaru paras air di Empangan Beris dekat Kedah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu laporan berita yang disiarkan pada muka depan akhbar China Press hari ini.

"(Sumber air di) Empangan Beris (dekat) Sungai Muda, saya difahamkan boleh bertahan satu bulan mulai hari ini, (sumber air empangan) di Pulau Pinang boleh bertahan dua bulan.

"Ini akan menjejaskan bukan sahaja seluruh negeri Kedah dan Perlis, tetapi tentu juga Pulau Pinang.

"Sunggupun empangan kita boleh bertahan selama dua bulan, tetapi tanpa air dari sumber Sungai Muda, Pulau Pinang pun akan turut terjejas.

"Ini menunjukkan betapa seriusnya El Nino, dan saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin meminta Kerajaan Pusat menjalankan pembenihan awan secara besar-besaran kerana sekarang kita (Utara Semenanjung Malaysia) masih ada awan," jelas Guan Eng kepada pemberita di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, pembenihan awan akan memberi manfaat kepada kira-kira 4 juta rakyat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Terdahulu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menggesa Kerajaan Pusat mengambil sikap proaktif, pelaksanaan pembenihan awan ini membabitkan Pihak Berkuasa Negeri di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Jawatankuasa Pengairan Negeri membabitkan beberapa agensi kerajaan, di Rumah Pam Air Pinang Tunggal di sini baru-baru ini.

Hadir sama, dua Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK), Ustaz Muhasdey Muhamad (Pinang Tunggal) dan Asrol Sani Abdul Razak (Bertam).

Pada perkembangan sama, Afif memberitahu, sehingga kini, JPS membekalkan air ke 1,546 hektar daripada keseluruhan 8,500 hektar petak sawah padi di Seberang Perai Utara (SPU), sungguppun di sini dikenali sebagai 'daerah kritikal' sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bekalan air ke kawasan sawah di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) adalah mencukupi, dari sumber Sungai Kerian, Perak.

“Pun begitu, masih ada beberapa kawasan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) tidak menerima bekalan air, dan keadaan di sana bergantung pada paras air Sungai Kulim.

“Di Daerah Barat Daya pula, hampir 50 peratus kawasan sawah telahpun dibekalkan air dan tinggal tiga plot sawah masih belum dibekalkan air, kerana hanya bergantung pada sumber air hujan dan Sungai Titi Teras dekat Balik Pulau,'' jelasnya.

Dengan perkembangan terbaru berkenaan, Afif menyatakan bahawa pihaknya yakin JPS mampu membekalkan air ke semua kawasan sawah padi sepanjang musim kemarau El Nino sehingga bulan Mei ini berdasarkan pada taburan hujan dan paras air sungai yang direkodkan sebelum ini.

"Untuk musim ini, kita ada sehingga Mei, dan kita mengharapkan dapat membekalkan (air) ke semua (kawasan petang sawah).

"Mereka (pesawah dan petani) sedia maklum dengan keadaan El Nino dengan kemarau yang dihadapi sekarang dan mereka juga faham dengan stretegi-strategi yang kita susun di peringkat zon dan negeri," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus