Skip to main content

Segera mohon HAPPY!, kata MP Bayan Baru selepas saksi wajah baru Flat MBPP

SIM Tze Tzin (tengah sekali), A. Kumaresan (berbaju kuning) dan S. Sukumar (empat dari kanan) bersama-sama sebahagian penduduk setempat merakamkan gambar dengan berlatarbelakangkan Flat MBPP yang berwajah baru di sini baru-baru ini.

BATU UBAN - Persatuan penduduk rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah yang dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang digesa segera memohon peruntukan HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang di bawah Kerajaan Negeri hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Baru, Sim Tze Tzin berkata demikian semasa melawat Flat MBPP berhampiran Terminal Bas Sungai Nibong, yang siap dinaik taraf di sini baru-baru ini. 

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang  (MBPP), A. Kumaresan, Gan Ay Ling dan Ahmad Azrizal Tahir serta bekas Ahli Majlis, S. Sukumar yang berusaha menaiktaraf flat itu, tahun lalu.

Tze Tzin turut memuji inisiatif MPSP mengecat serta "meremajakan semula" rumah pangsa yang berusia 30 tahun itu.

Manakala Kumaresan pula memberitahu bahawa projek penarafan itu menelan belanja RM148,000.

“Antara naiktaraf yang dijalankan ialah mengecat semula bangunan, naiktaraf parkir motosikal, naiktaraf sistem perpaipan, menggantikan tong sampah serta mengecat dan penyusunan semula tempat letak kereta.

“Projek ini juga berjaya disiapkan mengikut masa yang ditetapkan, iaitu bermula pada November 2015 dan selesai menjelang April 2016,” jelas Kumaresan lagi.

Terdapat 120 unit di kedua-dua flat, terdiri oleh rumah kategori satu bilik, dua bilik dan tiga bilik, yang disewakan khusus kepada golongan terpilih di sini.

Terdahulu, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan mensyorkan Kerajaan Negeri mengkaji semua prosedur pemberian peruntukan HAPPY!, memandangkan Kerajaan Pusat belakangan ini seakan melengah-lengahkan proses kelulusan permohonan projek Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia (TP1M) yang dimohon oleh persatuan penduduk dan badan pengurusan bersama (JMB) di negeri ini.

Jagdeep Singh Deo memberitahu sehingga kini baru 24 projek TP1M diluluskan untuk membaikpulih rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah di negeri ini, manakala 144 permohonan lain masih 'terbengkalai'.

Terdahulu, bagi tiap-tiap projek TP1M yang diluluskan sebelum ini, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan HAPPY! untuk membiayai 10 peratus hingga 30 peratus baki kos penyelenggaan perumahan, yang sepatutnya ditanggung oleh persatuan penduduk berwajib.

Sebanyak 48 HAPPY! diluluskan sejak skim itu diperkenalkan, sedangkan Kerajaan Pusat dalam tempoh sama meluluskan 24 TP1M sahaja.

Direkodkan, sebanyak RM1 peruntukan HAPPY! telahpun dibelanjakan pada tahun 2013, diikuti, RM2.4 juta (2014) dan RM2.8 juta (2015).