Skip to main content

Pengunjung pasar Apollo Bagan angkat plakad 'Mana RM2.6 bilion?' bersama Kit Siang, KM

KETUA Menteri (depan, enam dari kiri) serta beberapa pemimpin Kerajaan Negeri mengangkat plakad "Mana RM2.6 bilion?" semasa Kempen Pantag Undur – Solidariti Bersama Lim Kit Siang (lima dari kiri), di Pasar Basar Apollo dekat Bagan pada pagi tadi.
Berita & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB


BAGAN JERMAL - Hampir 50 pengunjung pasar basah Apollo dekat Jalan Raja Uda di sini mengangkat plakad "Mana RM2.6 bilion" sebagai solidariti pada Kempen Pantang Undur Bersama-Sama Ahli Parlimen Gelang Patah, saudara Lim Kit Siang, pagi tadi.


Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sehingga kini, rakyat masih bertanya kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai skandal kewangan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kerana beliau (Kit Siang) berani bercakap mengenai skandal 1MDB, maka beliau dibuang (digantung) dari menghadiri Parlimen selama enam bulan.

"Beliau berani bersuara di Parlimen supaya suara rakyat dapat didengar," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Manakala Kit Siang dalam ucapannya pula berkata beliau seakan budak nakal yang disuruh keluar dari sekolah oleh guru apabila membangkitkan suatu subjek yang benar-benar berlaku di sekolah.

"Skandal yang dikaitkan dengannya (Najib) bukan lagi RM2.6 bilion, sudah sebanyak RM4.2 bilion.

"Dan, sekarang tiap-tiap rakyat bertanya ke mana duit dibelanjakan dan dari mana duit ini telah diperolehi.

"Semua kita mahukan jawapan daripada Najib sendiri satu dunia telah mengenai Malaysia dengan skandal ini.

"Kita mahu Najib sendiri jawab kerana laporan audit mengenai 1MDB pun sudah (di bawah Akta) Rahsia Rasmi, hingga membawa pada penahanan Rafizi Ramai (Ahli Parlimen Pandan) baru-baru ini," tegas Kit Siang.

Kit Siang turut menyeru semua rakyat Malaysia khususnya anak jati Sarawak yang bermastautin di Pulau Pinang, supaya membantu dengan apa cara sekalipun ke arah menolak calon Barisan Nasional serta sekutunya sempena musim kempen Pilihan raya Negeri (PRN) di negeri itu kini.

Turut berucap, ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) serta P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan).

Sebelum itu, Kit Siang diiringi anggota JKKK setempat mengunjungi gerai-gerai penjaja serta meramahi para pengunjung ke sini.

Oktober tahun lalu, Kit Siang digantung dari menghadiri Parlimen gara-gara terus membangkitkan mengenai isu 1MDB, sungguhpun dilarang oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul untuk menggantung Kit Siang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Azalina Othman Said semasa itu lalu disokong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee pada jam 1.12 petang selepas undi belah bahagi anggota ahli parlimen setelah lebih 45 minit mereka berbahas.

Susulan itu, sekumpulan anggota Parti Tindakan Demokratik (DAP) sejak 11 November tahun lalu melancarkan Kempen ‘Pantang Undur – Kempen Solidariti Bersama Kit Siang: Mana RM2.6 bilion?’ ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak demi memberi penerangan kepada rakyat mengenai skandal 1MDB serta ‘derma’ RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Najib.