Skip to main content

Paya bakau musnah, kolam ternak udang hasil sisa buangan beracun tidak berasas, respons Dr. Afif


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Dakwaan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai projek ternakan udang dalam kolam di Balik Pulau menghasilkan sisa buangan beracun hingga menjejaskan alam sekitar dan hasil tangkapan laut adalah tidak berasas.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu, Global Goodway (M) Sdn. Bhd. yang mengusahakan projek itu dikenalpasti mengikut Garis Panduan Pembangunan Projek Akuakultur Negeri Pulau Pinang serta mendapat penarafan Amalan Pertanian Baik (myGAP).

"Ini (myGAP) adalah pengiktirafan tertinggi (dalam bidang pertanian) dalam negara, yang mana mereka akan melihat segala aspek daripada penyediaan produk sehinggalah aspek bagaimana cara merawat sisa-sisa daripada industri itu.

"Saya tidak faham bagaimana air sama yang digunakan untuk ternak udang itu boleh dianggapkan ada sisa buangan beracun sedangkan ia menghasilkan sumber makanan (iaitu) udang.

"Dakwaan yang dikemukakan oleh SAM dan CAP bahawasanya ternakan udang ini melepaskan sisa buangan beracun adalah tidak berasas," katanya pada sidang media di Komtar tengah hari tadi.

Dalam perkembangan sama, Afif menjelaskan mengenai isu penebangan hutan paya bakau untuk projek penternakan udang tersebut.

Menurutnya, penebangan di atas sebahagian tanah Lot 802 Mukim C di Balik Pulau olehGlobal Goodway mendapat kelulusan permohonan kebenaran merancang pada 9 September 2014.

Tambah beliau, syarikat tersebut turut mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), iaitu tidak kurang 200 meter zon penampan dari persisiran pantai.

Pun begitu, jelasnya, MBPP akan bertindak ke atas projek ternak udang yang beroperasi tanpa kebenaran, di sebahagian tanah Lot 802 dan Lot 858 di sini.

"Pejabat Daerah & Tanah (Daerah) Barat Daya juga telah memaklumkan bahawa projek kolam udang di atas (tanah) Lot 802, Mukim C, Daerah Barat Daya itu merupakan tanah milik persendirian oleh tetuan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (ERDA) dan kategori pertanian serta syarat nyata tanah adalah akuakultur," ujar Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Tegasnya, notis pemberhentian operasi selama 30 hari akan dikeluarkan kepada pihak terbabit, serta kompaun maksimum RM5,000 sehari sekiranya mengingkari perintah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Difahamkan, langkah penguatkuasaan itu adalah berdasarkan Seksyen 27(2)(A) Akta Perancangan Bandar & Desa 1976.

CAP dan SAM pada 26 Mac lalu dilaporkan menggesa projek ternakan udang tersebut dihentikan kerana didakwa menghasilkan sisa buangan beracun ke sungai hingga menjejaskan hasil tangkapan lebih 1,000 nelayan pantai setempat.

Pegawai Luar Bandar CAP, Zulkifli Yusuf dilaporkan berkata, masalah itu yang berlarutan lebih 10 tahun semakin serius apabila pengusaha terbabit meluaskan kawasan ternak udang hingga memusnahkan sebahagian besar kawasan paya bakau.