Skip to main content

Guan Eng syor Gerakan kritik Jabatan Penilaian Pusat tentukan nilai tanah Taman Manggis

KETUA Menteri Saudara Lim Guan Eng (depan, tengah) diiringi Ustaz Maktar Shapee (depan, kiri) dan Soon Lip Che (depan, kiri) pada sidang media, selepas meninjau sendiri keadaan tanah yang didakwa bermasalah oleh Perda di Tok Keramat dekat Sungai ACHEH di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI ACHEH - 1.1 ekar tanah Taman Manggis yang dijual RM232 sekaki persegi kepada pihak Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) pada tahun 2012 sebenarnya lebih tinggi daripada harga yang disyorkan oleh Jabatan Penilaian dan Perbendaharaan Harta langsung di bawah Kementerian Kewangan.

Ketua Menteri,  Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian, sambil menolak tuduhan pemimpin Gerakan Pulau Pinang kononnya Kerajaan Negeri hari ini menjual tanah itu dengan harga di bawah pasaran. 

"Asalnya dia cakap tanah ini berharga RM22 juta, selepas itu naik RM43.5 juta dan mungkin esok hari naik RM100 juta.

"Daripada mana dia ambil angka (harga tanah) RM43.5 juta itu, tetapi Jabatan Penilaian tetapkan RM8.5 juta (pada tahun 2009).

"Tender terbuka adalah jalan terbaik kerana semua pihak boleh sertai dan Kerajaan Negeri memilih sebut harga paling tinggi iaitu RM11.5 juta. 

"Sekiranya mereka ada soalan atau keraguan dengan harga yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian,  mereka bolehlah kritik agensi Kerajaan Persekutuan," jejas Guan Eng kepada pemberita di sini pagi tadi. 

Difahamkan, Kerajaan Negeri pada tahun 2012 mengambil keputusan menangguhkan penjualan tanah itu,  selepas dipertikai oleh Pembangkang Pulau Pinang.

Mereka membantah cadangan pemaju swasta untuk memajukan bangunan 30 tingkat Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC), yang terdiri oleh 19 tingkat hotel, enam tingkat hospital swasta dan lima tingkat parkir.

Namun, sejak fasa pertama Taman Manggis diluluskan pada 10 Mei 2001, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dahulu tiada pun merancang Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di atas 1.1 ekar tanah dekat Jalan Zainal Abidin itu. 

Sebaliknya Kerajaan Negeri hari ini merancang 2,093 unit rumah di Jalan SP Chelliah, sebagai ganti pada rekod kegagalan pembangkang memajukan 1.1 ekar tanah Taman Manggis,  dulu. 

Dalam reaksi balas, Kerajaan Negeri menawarkan penjualan tanah itu kepada Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, namun tiada tiada komitmen kewangan daripada pembangkang.

Baru-baru ini,  isi tanah Taman Manggis dibangkitkan semula oleh pembangkang.

Difahamkan, tindakan pembangkang itu demi menutup kontroversi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menjual sebidang tanah awam kepada pemaju swasta, dengan harga di bawah pasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perbendaharaan Harta.

Rakyat Pulau Pinang dikatakan rugi kira-kira RM15.2 juta, disebabkan tindakan Perda, yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu.

Tanah seluas 3.461 hektar (ha) di Tok Keramat dekat Seberang Prai Selatan (SPS) dijual oleh PERDA pada harga RM1.427 juta, sedangkan nilai pasarannya adalah RM16.636 juta berdasarkan penilaian duti setem itu.