Skip to main content

Contohi perjuangan penjaja Melayu Uptown Bandar Perda, nasihat Rashid Hasnon

MOHD. Rashid Hasnon (empat dari kiri) menyempaikan sijil pengiktirafan Anugerah Tokoh Usahawan Melayu Kategori Perubatan kepada Presiden D'BM Hospital, Zolkifly Md. Lazim (dua dari kiri) dan isteri, Dr. Rosnah Abu Hassan (paling kiri), sambil disaksikan oleh Nasoruddin Shah Mat (tiga dari kiri), Mohd. Salleh Man (lima dari kiri) serta Azhar Mat di pentas utama Karnival Usahawan Melayu Pulau Pinang 2016 dekat Uptown Bandar Perda di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Usahawan Melayu Pulau Pinang perlu mencontohi 75 penjaja kecil berlesen yang berjuang lebih sedekad dengan menjalankan aktiviti peniagaan di tapak terbuka Uptown Bandar Perda di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Melayu Pulau Pinang 2016, yang buat julung-julung kalinya dianjurkan di sini, mulai 8 hingga 10 April lalu.

"Sebenarnya kita (Kerajaan Negeri) memilih tapak Uptown Perda kerana kejayaan mereka bertapak di sini sejak sedekad atau lebih 10 tahun lalu.

"Modelnya adalah peniaga-peniaga kecil ini dapat bersatu dan inilah sebenarnya Kerajaan Negeri mahu memupuk budaya keusahawanan ini melalui peniaga-peniaga kecil ini," jelas Mohd. Rashid Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

Sebelum itu, Pengerusi Penganjur Karnival, Nasoruddin Shah Mat dalam ucapannya berharap, karnival seumpama ini dapat dianjurkan di sini tiap-tiap tahun, serta di beberapa "Uptown" lain di negeri ini.

“Ini, secara tidak langsung dapat menangkis segala tohmahan yang ditujukan ke atas Kerajaan Negeri, terumanya mengenai isu penganiayaan dan penindasan kepada peniaga-peniaga kecil serta usahawan Melayu,” jelas Nasoruddin yang juga Pengerusi Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB).

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I, Amir Ghazali, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Zulkifli Ibrahim, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato' Mohd. Salleh Man, Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Pulau Pinang, Malik Faisal Abdul Rahim, Penaung KPATSBB, Zolkifly Md. Lazim serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat Permatang Batu, Azhar Mat.

Karnival ini terdiri oleh 71 khemah pameran, disertai lebih 160 penjaja Melayu serta menerima hampir 20,000 pengunjung.

Pada majlis sama, Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak menyampaikan sijil pengiktirafan kepada lapan tokoh usahawan Melayu atas kejayaan mereka dalam pelbagai bidang perniagaan.

Mereka, Mohd Aszuhairul Faizee Zulkiflee diberi anugerah sebagai Tokoh Usahawan Melayu Kategori Peniaga Kecil Berjaya, Zolkifly Md. Lazim (Kategori Perubatan), Mohd. Rodzi Abu Bakar (Kategori Kedai Makan), Hamzah Mat Aris (Kategori Kosmetik), Asiah Baharom (Kategori Cookies), Muhammad Firdaus Zolkifli (Kategori Bengkel Kenderaan), Suhaidi Saad (Kategori OKU) dan Khaitrul Ediana Mohd Tahir (Kategori Usahawan Kesihatan).