Skip to main content

Warga emas diabai JKM mungkin "kenyataan pihak ketiga", respons Boon Poh

PHEE Boon Poh (kiri) menerima laporan kronologi kes Tan Cheng Chuan daripada Said Sidup, selepas sidang media di Komtar, George Town pada tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Laporan berita kononnya warga emas, Tan Cheng Chuan diabaikan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang baru-baru ini kemungkinan adalah kenyataan spekulasi pihak yang ketiga.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata demikian ketika mengulas laporan berita "Slipping through welfare net; Vagrant's claim of abandonment to be looked into" dalam akhbar The Star pada 2 Mac lalu, dan "Mr. Lim Dun Liang melawat rumah orang tua untuk menguruskan kesihatan Tan Cheng Chuan" dalam akhbar Kwong Wah Jit Poh pada 29 Februari lepas.

"Saya berkeyakinan bahawa tuduhan tidak dibuat oleh orang itu (Cheng Chuan).

"Tetapi, ada pihak ketiga yang membuat aduan itu dan kemungkinan 'ada udang di sebalik batu' (tujuan lain) dan dilepaskan kepada JKM," jelas Boon Poh kepada pemberita di sini, tengah hari tadi.

Booh Poh bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan bermotif pihak ketiga, yang dimaksudkannya itu.

Sebaliknya, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu berkata, pihak beliau serta JKM Negeri sedang menyiasat perkara-perkara di sebalik aduan atas nama Cheng Chuan tersebut.

Sebelum itu, Pengarah JKM Negeri, Said Sidup mendedahkan kronologi kes berbangkit tersebut.

Menurutnya, Cheng Chuan pada 15 Disember tahun lalu diselamatkan di Hospital Pulau Pinang setelah mendapat aduan daripada Boon Poh.

Warga emas itu kemudiannya dihantar ke Rumah Seri Kenangan (RSK) Taiping, Perak, berdasarkan Seksyen 3(2) Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183) untuk proses penyediaan laporan sosial.

28 Januari lalu, jelasnya lagi, Cheng Chuan dipindahkan e RSK Ulu Kinta untuk tujuan pemulihan dan pelindungan, berdasarkan Seksyen 3(4) akta sama.

"Penama telahpun diserahkan kepada pihak pengurusan RSK Ulu Kinta...kerana tidak mempunyai ahli keluarga dan tempat tinggal yang tetap," jelas Said pada sidang media bersama-sama Boon Poh.

Berdasarkan laporan daripada Penguasa SRK Ulu Kinta pada 25 Februari lalu, Said memberitahu, Cheng Chuan ada mengemukakan surat permohonan bertulis untuk dibebaskan, kerana penama ingin menetap bersama rakan dekat Batu Lanchang di sini ini.

Tambah Said lagi, Cheng Chuan turut mendesak untuk dibebaskan, dengan tidak lagi mengikut peraturan dan kaedah-kaedah yang ditetapkan di RSK Ulu Kinta.

Said berkata, berdasarkan alasan dan desakan penama untuk tinggal bersama rakannya, Penguasa RSK Ulu Kinta telah bersetuju untuk membebaskan penama, di bawah Seksyen 8(1)(b) Akta Orang-Orang Papa 1977, iaitu dilepaskan dari rumah-rumah kebajikan.

"Pada 25 Februari (Khamis) jam 10.30 pagi, penama bersama tiga orang Pegawai Pengiring dari RSK Ulu Kinta telah dihantar dengan menaiki kenderaan jabatan ke rumah rakannya di Pulau Pinang, tetapi, lokasi sebenar rumah rakannya tidak dapat dicari.

"Kemudian, penama bertegas dihantar ke ke Jalan C.Y. Choy walaupun dinasihati oleh pegawai pengiring bahawa menjadi satu kesalahan sekiranya pihak penama tidak mahu mengikut seperti yang terkandung di dalam surat permohonan pertama penama.

"Justeru, penama dihantar ke Jalan C.Y. Choy atas kehendaknya sendiri," jelas Said sambil memberitahu JKM senantiasa mengambil berat kepada golongan sasar berwajib.

Kini, menurut Boon Poh, Cheng Chuan berlindung di rumah kebajikan persendirian 'Peace & Harmony' berhampiran Penang Free School di Datuk Keramat, yang dikendalikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).