Skip to main content

Sejak 2009, Kerajaan Pulau Pinang belanja RM176 juta untuk program-program emas rakyat

DR. Afif Bahardin kelihatan membantu seorang warga emas membuat tuntutan tunai di salah sebuah bank cawangan di Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

OKU tuntut RM100 sumbangan warga emas selepas 1.00 petang dapat 'layanan istimewa'


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Seramai 160,989 warga emas yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri layak menuntut RM100 tunai dengan membawa vaucer berwajib ke 29 cawangan Maybank terpilih pada 5 dan 6 Mac ini, mulai jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Seperti dirancang, semua proses tuntutan tunai membabitkan mereka bertaraf OKU diuruskan oleh kakitangan Kerajaan Negeri, wakil bank serta ADUN setempat mulai jam 1.00 petang.

Wakil akhbar Buletin Mutiara terbitan Kerajaan Negeri turut membuat liputan di beberapa bank cawangan terbabit.

ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dirakam turun padang membantu urusan warga emas terpilih di salah sebuah bank cawangan di sini.

P. Ramasamy (tengah) turut merakamkan gambar dengan wakil bank, penerima sumbangan serta wakil Kerajaan Negeri selepas majlis tersebut selesai di sini baru-baru ini.
WONG Hon Wai (lima dari kiri) turut merakamkan gambar dengan wakil kerajaan negeri serta penerima sumbangan warga emas tunai RM200 di salah sebuah bank cawangan di KADUN Air Itam baru-baru ini.

Begitu juga dengan ADUN Perai merangkap Timbalan Ketua Menteri II,  Prof. P. Ramasamy serta Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) di beberapa bank cawangan masing-masing.

Terdahulu, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, 'layanan istimewa' itu supaya mereka yang berkenaan tidak perlu saling berebut dengan penerima-penerima lain, pada kedua-duanya hari tuntutan tunai RM100 tersebut kelak.

"Andai kata keluarga mereka (warga emas bertaraf OKU) membawa mereka dalam kereta, mereka boleh duduk dalam kereta, kami (wakil Kerajaan Negeri) di bank boleh ambil duit (RM100) dan beri kepada mereka," jelas Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu pada satu sidang media berasingan.

Bagi wakil penerima, katanya lagi, wajib mendapatkan 'Surat Pelepasan Tanggungjawab' daripada Pejabat ADUN, Ahli Parlimen atau Pejabat Pegawai Penyelaras Kadun (PPK) Pakatan Harapan, sebelum menuntut RM100 tunai di bank.

Tambah beliau, tuntutan tunai dengan menggunakan vaucer sah dalam tempoh 7 hingga 18 Mac sahaja, pada waktu operasi bank.

Selepas mengambil alih Kerajaan Negeri pada tahun 2008, Guan Eng antara lain mengumumkan pemberian tunai RM100 tiap-tiap tahun kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas, sebagai menghargai sumbangan mereka.

Itu, tidak termasuk sumbangan tunai pelbagai kadaran yang lain kepada OKU, bayi baru lahir, pelajar tahun 1 & 4 serta tingkatan 1 & 4, wanita suri rumah sepenuh masa, mahasiswa daftar universiti terpilih dan waris warga emas meninggalkan dunia.

Difahamkan, program-program emas yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 hingga 20 November 2015 menelan belanja RM176 juta (RM176,055,800)

Mengikut pecahan, program Penghargaan Warga Emas & Waris menelan belanja RM112,419,700, Skim Pelajar Emas (RM20,125,500), Mahasiswa Emas (RM13,981,000), Anak Emas (RM11,474,200), Ibu Emas (RM9,007,100), Bantuan Ibu Tunggal & Waris (RM5,408,500) serta Bantuan OKU & Waris (RM3,639,800).