Skip to main content

Rasulullah S.A.W suruh dengar & taati pemimpin Islam, sungguhpun zalim?



Fiqh Kenegaraan (فقة الدولة):
BILAKAH WAJIB DENGAR DAN PATUH KEPADA KEPEMIMPINAN ZALIM DARIPADA KALANGAN ORANG ISLAM?

SOALAN:
Saya menerima WhatsApp yang umumnya membawa mesej wajib dengar dan patuhi pemimpin Islam sungguhpun mereka zalim. Maka, wajiblah mentaati Datuk Seri Najib Tun Razak sungguhpun didakwa menyeleweng kuasa dan dana awam serta membazir wang rakyat.


JAWAPAN:
Tanpa disiplin usul fiqh, mengakibatkan satu-satu dalil difahami secara literal di luar konteks maksud yang sebenar.

Contoh 1:

فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ
Maksud:
"...janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'Ha'..." [Surat Al-Isra' 23]
Ulasan:
Golongan literalis berhujah hanya melafazkan 'ha' kepada ibu bapa sahaja berdosa kerana disebut dalam zahir dalil di atas.

Menurut Fuqaha, kalau kata 'uhhh' pun tak boleh, memukul lebih-lebih lagi lah tak boleh. 

Inilah yang disebut, al-qiyas al-jali (القياس الجلي).

Dan, inilah dimaksudkan, Mafhum Muwafaqah (مفهوم موافقة) iaitu, petunjuk lafaz nas ke atas penetapan sesuatu hukum bagi perkara yang disebutkan, di antara keduanya terdapat kesesuaian, sama ada dalam bentuk nafi atau isbat  kerana terdapat persamaan 'illat.

Contoh 2:

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksud:
"Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar." [Surat An-Nahl 106]

Ulasan:
Golongan literalis boleh mengaku kafir berdasarkan zahir nas ini, serta pengajaran ('ibrah) dari kisah Amar bin Yassir mengaku kafir selepas beriman.

Namun, menurut fuqaha, dibenarkan mengaku kafir apabila dalam keadaan darurat, seperti atas tujuan menyelamat nyawa daripada ancaman bunuh.

Lagipun, Islam melarang penganutnya mempersenda agama, seperti mengaku kafir tanpa sebab-musabab syarie.

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
Maksud:
"Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia..." [Surah Al-An'am: 70]

Contoh 3:

عَنْ أَبِي سَلَّامٍ قَالَ قَالَ حُذَيْفَةُ بْنُ الْيَمَانِ
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا بِشَرٍّ فَجَاءَ اللَّهُ بِخَيْرٍ فَنَحْنُ فِيهِ فَهَلْ مِنْ وَرَاءِ هَذَا الْخَيْرِ شَرٌّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ هَلْ وَرَاءَ ذَلِكَ الشَّرِّ خَيْرٌ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ فَهَلْ وَرَاءَ ذَلِكَ الْخَيْرِ شَرٌّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ كَيْفَ قَالَ يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لَا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلْأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ
Maksud:
Daripada Abu Sallam dia berkata; Hudzaifah bin Yaman berkata, Saya bertanya: Wahai Rasulullah, dahulu saya berada dalam kejahatan, kemudian Allah menurunkan kebaikan (agama Islam) kepada kami, apakah setelah kebaikan ini timbul lagi kejahatan?" Baginda menjawab: Ya. Saya bertanya lagi: Apakah setelah kejahatan tersebut akan timbul lagi kebaikan? Baginda menjawab: Ya. Saya bertanya lagi: Apakah setelah kebaikan ini timbul lagi kejahatan? Baginda menjawab: Ya. Aku bertanya, Bagaimana hal itu? Baginda menjawab: Setelahku nanti akan ada pemimpin yang memimpin tidak dengan petunjukku dan mengambil sunnah bukan daripada sunahku, lalu akan datang beberapa lelaki yang hati mereka sebagaimana hatinya syaitan dalam rupa manusia. Hudzaifah berkata, saya bertanya: Wahai Rasulullah, jika hal itu menimpaku apa yang kamu perintahkan kepadaku? Baginda menjawab: Dengar dan patuhilah kepada pemimpinmu, walaupun ia memukulmu dan merampas harta bendamu, dengar dan patuhilah dia. [HR Muslim, no. 3435]

Ulasan:
Golongan literalis antara lain menjadikan hadith ini sebagai dalih supaya mentaati kepemimpinan Datuk Seri Naib Tun Razak yang didakwa zalim, sungguhpun jika rakyat dipukul atau harta mereka dirompak oleh pemimpin berkenaan.

Sungguhpun hadith ini diriwayatkan dalam Sahih Muslim, ia bertaraf hadith Mursal, kerana bapa kepada perawi bernama Abu Muslim dikenal pasti "tidak pernah melihat dengar riwayat ini daripada Sahabat bernama Huzaifah Al-Yamani."

Jumhur Muhaddisin berpendapat hadith mursal bertaraf doif atau lemah, dan tidaklah boleh dijadikan hujah. 

Tanpa merujuk pada hadith mursal ini,  sebahagian lain berpendapat ia masih diterima sahih sekiranya diriwayatkan oleh perawi thiqah dan adil daripada peringkat Tabiin. Manakala Mazhab Shafie pula berpendapat hadith mursal masih sahih sekiranya diriwayatkan oleh Tabiin Besar daripada sanad lain atau disokong bantu dengan perkataan shahabat (qaulush-shahaby). Maka, Mursal Sahabi diterima sebagai hujah.

Dari segi ilmu diroyah pula, hadith mursal ini seakan tidak selari dengan mujmal nas Al-Quran, yang begitu banyak menjelaskan mengenai kewajipan berjihad dengan jiwa dan harta. Di antaranya, 

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ
Maksud:
"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama..." [Surah Al-Hajj: 78]

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksud:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." [Surah At-Taubah: 111]

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ 
Maksud:
Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia merubahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka dengan lidahnya, jika tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah (dengan hati) selemah-lemah iman. [HR.Muslim]

Apabila bersalahan dengan mujmal nas Al-Quran, sifat hadith pada contoh di atas umpamanya adalah tidak mutlak untuk semua perkara, iaitu tidak boleh digunakan untuk semua zaman, tempat dan kondisi.

Lebih jelas, "dengar dan patuh" ini kepada mereka yang berada dalam mudarat, bukan selainnya.

Seumpama seseorang yang takut diletupkan dengan C4 sebagaimana dialami oleh mendiang Altantuyaa Shaaribuu atau takut disimen sebagaimana ke atas timbalan pendakwa raya SPRM Anthony Kevin Morais, maka "...dengar dan patuhilah kepada pemimpinmu, walaupun ia memukulmu dan merampas harta bendamu, dengar dan patuhilah dia..."

Jika hadith ini mahu dijadikan dalih sekalipun untuk 'mencandukan' rakyat supaya mentaati Najib Razak, ruang demokrasi berperlembagaan dengan unsur 'semak dan imbang' yang sedia ada adalah lebih jelas masih boleh dijadikan medium untuk menghentikan kezaliman perdana menteri itu.

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ  
Maksud: 
"...Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." [Surah Al-Hajj: 40]

Wallahu 'alam.