Skip to main content

Pulau Pinang juara Piala Khir Johari, terima insentif RM14,000

MOHAMAD Fazil Mohd. Asri (belakang, tiga dari kiri) dan Mohammad Syahir Mohamad Rosdi (hadapan, tiga dari kiri) menunjukkan medal, Piala Khir Johari dan piala pusingan, sejurus tamat sidang media di sini, petang tadi.

BATU UBAN – Selepas 54 tahun penantian, Pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang (PSTPP) baru-baru ini berjaya merangkul kejuaraan Piala Khir Johari, iaitu piala paling berprestij di peringkat kebangsaaan.

Susulan itu, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng menyampaikan RM14,000 insentif penghargaan kepada pemain, jurulatih dan pengurus pasukan negeri.

“Kerjaaan Negeri tidak pernah dan tidak akan mengetepikan PSTPP walaupun Presidennya (Datuk Ahmad Ismail) merupakan pemimpin parti politik berlainan.

"Inilah maksud semangat kesukanan yang kita maksudkan dengan tidak mencampurkan urusan politik dan sukan," katanya kepada pemberita pada petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu berkata demikian dalam satu majlis ringkas di Kompleks Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) di sini.

Hadir sama, Pengarah MSNPP Frederick Tan Teck An, B.C Cheah (Timbalan Pengerusi II MSNPP) dan Jeffari Abd. Malek (Pengurus Pasukan).

Di sebalik kejayaan itu, Ahmad Ismail memberitahu beliau sendiri mengambil langkah berani dengan merombak pasukan negeri dari segi pemilihan pemain serta barisan jurulatih.

"Alhamdulillah, berkat kerjasama erat dan kesungguhan pemain, kita berjaya menamatkan kemarau panjang ini di mana satu ketika dahulu kita juga jaguh sepak takraw,” ujar Ahmad Ismail.

Manakala, Ketua Pasukan, Mohamad Fazil Mohd. Asri, 26 pula melahirkan rasa bangga kerana kejayaan ini sekaligus mengharumkan nama Pulau Pinang.

Beliau merupakan pemain kelahiran Permatang Pauh yang juga pernah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian (sekolah sukan).

Seawal usia 13 tahun, Mohamad Fazil tidak menoleh kebelakang lagi apabila kerap mewakili sekolah, Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Pulau Pinang semenjak tahun 2006, 2008 dan 2010.

Di peringkat antarabangsa, empat kali berturut-turut beliau membawa pulang pingat perak selepas beraksi dalam Sukan SEA 2009, 2011, 2013 dan 2015.

Rakan sepasukannya, Mohammad Syahir Mohamad Rosdi yang juga pelajar SMK Mutiara Impian turut melahirkan rasa teruja kerana secara peribadi sekali lagi menjulang nama Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa.

Difahamkan, pemain berketinggian 189 sentimeter berkenaan sebelum ini dilihat memainkan peranan penting menewaskan seteru utama, Thailand dalam Kejohanan Super Series Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Melaka.

Kini, pasukan negeri sedang membuat persiapan menghadapi Kejohanan Grad Prix Kebangsaan, mulai April depan.

Pasukan negeri baru-baru ini merangkul kejuaraan selepas menundukkan pencabar dari Selangor, dengan kemenangan 2-0.

Kali terakhir PSTPP menjulang Piala Khir Johari pada tahun 1962, selepas menewaskan pasukan Singapura di Stadium Negara.