Skip to main content

Promosi Cukai Pintu 2016 MPSP berjaya kutip RM80.75 juta

MAIMUNAH Mohd. Sharif turut membuat cabutan bertuah, sambil disaksikan oleh Rozali Mohamud dan beberapa pemimpin MPSP lain di sini, semalam. | Foto: Mohd. Faiz Abdul Halim (Jurugambar MPSP)

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjaya memungut cukai taksiran sebanyak RM80.75 juta sepanjang tempoh Promosi Cukai Pintu 2016, bermula pada 15 November 2015 hingga Januari 2016, lalu dilanjutkan pada tarikh 29 Februari lalu.

Yang di-Pertuanya Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu jumlah itu melebihi sasaran yang telah diselaras MPSP, pada kadar RM74 juta.

"Daripada jumlah 42,178 akaun yang layak (menyertai cabutan bertuah), lima pemenang bagi kategori bayaran secara atas talian dan 50 pemenang bagi kategori biasa akan ditentukan.

"Para pemenang berkenaan akan dihubungi oleh Jabatan Perbendaharaan MPSP bagi urusan pengesahan serta akan dijemput untuk hadir ke Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah akan diadakan pada bulan April 2016," jelas Maimunah pada pemberita di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda, semalam.

Setiausaha Majlis, Sr. Rozali Mohamud dan barisan ahli majlis lain turut menyempurnakan acara cabutan bertuah bersama-sama Maimunah, selepas selesai Majlis Mesyuarat Penuh di sini.

Jumlah pemenang menyertai acara cabutan bertuah pada tahun ini meningkat 12.65 peratus, berbanding Promosi Cukai Taksiran 2015 yang menerima penyertaan seramai 37,443 pembayar cukai berwajib.

Promosi Kutipan Cukai Pintu 2015 berjaya mencatatkan pungutan bayaran sebanyak RM38.54 juta melalui 112,190 transaksi daripada pembayar cukai.