Skip to main content

'Mejar Zaidi' dilantik sebagai pegawai Ketua Menteri Pulau Pinang, umum Guan Eng

Mejar (B) Zaidi Ahmad yang mendedahkan mengenai kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum lalu dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng hari ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Mejar (B) Zaidi Ahmad yang mendedahkan mengenai kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum lalu dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng hari ini.

Guan Eng memberitahu Zaidi akan membantunya dalam kerja-kerja penerangan, termasuk menjelaskan mengenai Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

"Beliau tidak sertai DAP, tetapi akan bekerja untuk saya," jelas Guan Eng kepada pemberita di Komtar, tengah hari tadi.

'Mejar Zaidi' merupakan pemandu pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada Februari tahun lalu, beliau disingkirkan gara-gara membuat aduan polis berhubung celupan dakwat SPR pada jari pengundi pos semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, Mei 2013, adalah tidak kekal.

'MEJAR Zaidi' (kiri) merakamkan gambar selepas melafazkan Aku Janji sebagai pegawai di depan Lim Guan Eng di sini, tengah hari tadi.
RAJA Syazana Raja Shuib

Selain itu, Guan Eng turut mengumumkan pengambilan seorang lagi bakat cemerlang dalam bidang Civil & Environmental Engineering, lepasan Seoul National University.

Katanya, Raja Syazana Raja Shuib diambil berkhidmat di bahagian kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).