Skip to main content

Labur RM50 juta di P. Pinang, Atotech harap produktiviti ke Asia Tenggara berkembang

KETUA Menteri Pulau Pinang, Tuan Lim Guan Eng (kanan) saling berinteraksi dengan Reinhard Schneider (tengah) mengenai iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, sambil disaksikan oleh seorang pemimpin Atotech, semasa melawat kilang baharu di sini baru-baru ini. 


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

BUKIT TAMBUN - Atotech baru melabur RM50 juta dengan membuka sebuah kilang produk berasaskan kimia di Pulau Pinang, sungguhpun pengeluarannya dalam pasaran global sedikit menguncup dalam tempoh tiga bulan sejak hujung tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap pemilihan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan akan mengembang kembali produktiviti syarikat dari Jerman itu ke peringkat Asia Tenggara.

"Dalam iklim ekonomi tidak menentu, terbukti bahawa Pulau Pinang masih berdaya tahan dan masih berdiri sebagai destinasi pelaburan pilihan.

"Selain Atotech, kami (Pulau Pinang) berbangga kerana sebahagian besar pelaburan langsung asing (FDI) ini adalah dari Jerman, seperti Bosch, B Braun, KMWE, Multitest, Zestron dan Osram," jelas Guan Eng pada Majlis Pembukaan Kilang Baharu Atotech (Malaysia) Sdn. Bhd. di Taman Sains Pulau Pinang dekat Batu Kawan, 11 Mac lalu.

8 Mac lalu, Pulau Pinang baru menerima pelaburan RM100 juta dalam tempoh lima tahun, KLS Martin, iaitu sebuah firma peranti perubatan terkenal dari Jerman juga.

Difahamkan, Atotech sejak tahun 1998 lagi melabur di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dan terbaru melabur RM50 juta lagi di negeri ini sahaja.

Sekarang, firma itu mempunyai 30 pekerja, dan dijangka meningkat pada angka 50 orang kelak.

Guan Eng berharap, Atotech turut dapat bekerjasama dengan agensi negeri, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dalam meningkatkan pengalaman mahir di kalangan pelatih tempatan.

Ini kerana katanya, di PSDC ketika ini sedang melaksanakan sistem pendidikan vokasional antarabangsa daripada Jerman di pusat latihan itu.

Sebelum itu, Presiden Atotech, Reinhard Schneider melahirkan harapan bahawa pelaburan ke Pulau Pinang akan mengembangkan semula potensi pemasaran firma itu, khusus di peringkat Asia Tenggara.

"Di Pulau Pinang, kami (Atotech) dekat dengan kedua-dua pelanggan berpotensi dan pelanggan sedia ada. 

"Ini, membolehkan kami (Atotech) lebih memahami keperluan mereka serta iklim persaingan semasa.

"Lagipun, Pulau Pinang menawarkan (guna tenaga) profesional mahir yang boleh menyokong pelan pembangunan masa depan kami," jelas Reinhard Schneider.

Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Dato' Lee Kah Choon, Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC), Loo Lee Lian (Pengurus Besar Invest Penang), Dato' Maimunah Mohd. Sharif  (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) serta Pengarah Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Puan Azhana Mohamed Saleh turut sertai majlis itu.

Pelaburan ke Pulau Pinang pada tahun 2014 direkodkan sejumlah RM8.2 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 110 peratus berbanding RM3.9 bilion pada tahun 2013.

Dalam tempoh tujuh tahun mulai 2008 hingga 2014 di bawah pentadbiran Guan Eng, pelaburan ke negeri ini direkodkan berjumlah RM48.2 bilion dan menyamai peningkatan sebanyak 93 peratus berbanding Kerajaan Negeri era Barisan Nasional terdahulu.

Selama tujuh tahun mulai 2001 hingga 2007 di bawah Kerajaan Negeri terdahulu, pelaburan ke Pulau Pinang berjumlah RM24.9 bilion sahaja.