Skip to main content

Jelas Kerajaan Pulau Pinang terdahulu tiada hasrat bangunkan PPR fasa dua Taman Manggis

JAGDEEP Singh Deo.

Sumber: Facebook Buletin Mutiara

GEORGE TOWN - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo hari ini mendedahkan beberapa dokumen rasmi Kerajaan Negeri terdahulu (Kerajaan Negeri Barisan Nasional, BN) yang jelas menunjukkan bahawa pihak berkaitan memang tidak berhasrat untuk membangunkan tanah di Lot 314 dan Lot 305, Seksyen 16, Daerah Timur Laut sebagai projek perumahan rakyat (PPR).

Menurut Jagdeep, sebelum ini, satu memorandum bertarikh 1 Julai 2003 disebarkan pihak tidak bertanggungjawab secara meluas kepada media, dikatakan daripada Pengarah Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang antara lain menyatakan terdapat cadangan untuk membina satu blok tambahan setinggi 14 tingkat (160 unit) rumah PPR di atas baki 1,251 ekar tanah di Taman Manggis.

Walau bagaimanapun, jelas Jagdeep, hasil semakan pihaknya mendapati bahawa cadangan bagi tahun 2003 itu telahpun digantikan dengan cadangan lain pada tahun 2005 supaya tapak tersebut dibangunkan dengan projek campuran iaitu pembinaan rumah kedai dan kuarters kerajaan.

“Cabutan butir-butir Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang yang ke-34 bertarikh 28 September 2005, Perenggan 16.3 jelas menunjukkan cadangan memorandum 2003 telah diganti dengan satu cadangan baru pada tahun 2005 bagi membangunkan projek bercampur iaitu rumah kedai dan kuarters kerajaan di atas baki tanah tersebut,” katanya pada sidang media di Komtar, tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa pada tahun 2007, melalui potongan minit Mesyuarat Exco bertarikh 28 Mac 2007 dan disahkan minit tersebut pada 4 April 2007, berkenaan pembangunan projek perumahan di atas tanah seperti yang dinyatakan dalam Kertas Bil. 120/2007.

“Keputusan Majlis (Mesyuarat Exco) ketika itu mengambil maklum Kertas tersebut dan bersetuju dengan perakuan-perakuan seperti di perenggan 9 dan menolak permohonan tersebut (untuk membangunkan projek perumahan PPR di atas baki tanah berkenaan),” ujarnya ketika membaca dokumen rasmi kerajaan berkaitan.

Mengulas lanjut, Jagdeep menberitahu, selain minit mesyuarat Exco, terdapat satu surat rasmi daripada Timbalan Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang yang ditujukan kepada Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan) bertarikh 10 Mac 2009 bagi menjawab pertanyaan Exco berkenaan berhubung keseluruhan tapak di Taman Manggis (PA 4419 Jalan Burmah).

Katanya, antara isi kandungan surat tersebut menyatakan bahawa melalui semakan yang dibuat oleh PTG, lot-lot tersebut (Lot 314 dan 305) merupakan tanah kerajaan yang merupakan sebahagian dari PPR Lorong Selamat/Jalan Zainal Abidin.

Malah, tambah beliau, tapak tersebut juga pernah dipohon oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi tujuan PPR Lorong Selamat/Jalan Zainal Abidin, tetapi telah ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 28 Mac 2007 dan disahkan pada 4 April 2007.

“Keputusan dan pengesahan butir-butir serta dokumen ini adalah seperti yang dibacakan di atas. Dan ini secara jelas menunjukkan ada permohonan untuk membina unit-unit PPR daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan tetapi ditolak oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

“Jadi, ini dengan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri terdahulu sememangnya tiada hasrat untuk membangunkan PPR di atas baki tanah di Taman Manggis tersebut,” ujar Jagdeep.