Skip to main content

Jejambat BLE siap, tunggu kelulusan RSA, respons Exco Kerja Raya P. Pinang

(Dari kanan, hadapan) ISMADE Ismail, Lim Hock Seng, Abdul Malik Abul Kassim dan Salleh Awang ketika meninjau kerja-kerja akhir dalam menyiapkan Jejambat BLE di sini baru-baru ini.


BATU MAUNG – Jejambat Lebuh raya Bayan Lepas (BLE) sepanjang 3.2 kilometer yang menghubungkan Batu Maung ke Bayan Baru akan dibuka pada 4 April 2016, sekiranya diluluskan oleh Audit Keselamatan Jalan raya (RSA).

Mengulas lanjut, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pemaju, UEM Builders Berhad (UEM) kerana berjaya menyiapkan Jejambat BLE, seperti yang dijanjikan.

Walaupun menerima banyak kritikan, halangan, namun akhirnya jejambat ini berjaya disiapkan," jelas ADUN Bagan Jermal itu kepada pemberita di sini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana begitu menitikberatkan aspek keselamatan di kawasan pemajuan tersebut sebelum ini, sehingga menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Keselamatan (badan bebas) yang diketuai jurutera berpengalaman, Dato' Dr. Gue See Siew.

Pada sidang media sama, ADUN Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Kassim berharap penarafan BLE dan bahagian Lebuh raya Tun Dr. Lim Chong Eu dapat mengurangkan cabaran kesesakan trafik di sini, khususnya pada waktu puncak.

Pada sidang media sama, Pengarah Projek dari UEM, Ismade Ismail memberitahu jalan-jalan yang terbabit dalam projek penarafan mulai dibuka semula pada 28 Mac ini.

Beliau bagaimanapun berkata, urusan pembukaan jejambat tersebut tertakluk kepada kelulusan RSA, yang akan memulakan pemeriksaan pada 26 Mac ini.

Projek bernilai RM337 juta yang memakan masa lebih kurang dua tahun ini merangkumi 4.4 kilometer bahagian bawah yang dinaiktaraf serta Jejambat BLE sepanjang 3.2 kilometer,” ujar Ismade Ismail, sambil memberitahu UEM mencatatkan sifar kemalangan maut di tempat kerja dalam tempoh tempoh 3.2 juta jam.

Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir. Salleh Awang serta Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A.Rajendran turut melawat kawasan pemajuan di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismade Ismail memberitahu, pihaknya kini sedang menyiapkan lorong serta tiga jambatan khusus untuk pengguna basikal, yang dijangka siap sepenuhnya antara bulan Mei hingga Jun tahun ini.