Skip to main content

Fiqh Awlawiyat: Utamakan hak manusia berbanding hak Allah S.W.T?

ZAINULFAQAR Yaacob (paling kiri) bersama-sama rakan-rakan lain pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, George Town baru-baru ini.


Fiqh Keutamaan (فقة الأولويات) :
HAK ALLAH & HAK-HAK MANUSIA


Antara hak Allah S.W.T (حق الله) dan hak-hak hamba (حقوق العباد), yang mana satu sepatutnya diutamakan oleh manusia?

Hujjatul Islam Imam Ghazali berpendapat bahawa hak Allah mendahului hak hamba-Nya, antaranya bermuarakan dalil:

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

"Katakanlah: Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

[Surah At Taubah: 24]

Sesungguhnya ini adalah pendapat segelintir ulama, yang bersalahan dengan majoriti pendapat ulama (مخالفة الجمهور).

Sangat menarik ulasan Sheikh Abdullah Ben Bayyah dalam karyanya علاقة مقاصد الشريعة بأصول الفقة (Hubungan Maqasid Syariah dengan Usul Fiqh).

Dalam kitab itu, Ben Bayyah ada membuat rumusan mengenai hal ini, daripada pendapat Al-Baqalani (الباقلاني) (ulama daripada Mazhab Shafie)

واصل العبادات راجعة إلى حق الله واصل العادات راجعة إلى حقوق العباد

Maksud:
Sesungguhnya asal ibadah-ibadah kembali kepada hak Allah dan asal adat-adat kembali kepada hak-hak hamba (manusia)

[Rujuk Ben Bayyah, halaman 54]

Sebagai contoh, asal melaksanakan solat fardu umpamanya dilaksanakan secara lengkap atau (تمم), daripada segi bilangan rakaatnya, dalam waktunya mengikut tertibnya.

Namun, boleh dipendekkan (قصر) bilangan rakaat daripada empat kepada dua atas sebab musafir.

Atau, dihimpun (جمع) solat fardu Zuhur dan Asar serta Solat fardu Maghrib dan Isyak sama ada di awal waktu (جمع تقديم) atau dikemudiankan (جمع تأخير).

Atau, solat fardu itu dilakukan secara duduk, berbaring hatta dengan gerakan hati jika tiada kemampuan untuk berdiri.

Dibenarkan jamak solat atas sebab musafir adalah gambaran pada mengutamakan hak hamba berbanding hak Allah S.W.T..

Ini kerana, bermusafir itu adalah urusan manusiawi yang tiada tuntutan wajib secara syarie.

Begitu jugalah menghimpunkan solat, yang sebenarnya merupakan suatu sunnah Rasulullah S.A.W., sama ada dalam sulit (مشقة) atau sebaliknya yang membawa gambaran bahawa hak-hak manusia itu lebih diutamakan daripada hak-hak Allah S.W.T.

Syariat melaksanakan solat semampu mungkin menunjukkan dalam ibadah pun sangat mengutamakan hak manusia berbanding hak Allah, maka perkara-perkara yang bersifat asal (عزيمة) dilonggarkan (رخصة).

Ini dalam isu ibadat, yang semestinya bermuarakan pada dalil qatie daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Seperti dalam isu politik, sama ada bermuarakan pada dalil atau lebih banyak bersifat ijtihadiah, sangat ganjil sekiranya masih ada agamawan secara melampau memaksa pelaksanaan hukum Hudud di Malaysia ini dalam keadaan tiada mandat sosial (مصداقية الإجتماعية) daripada kalangan Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Sepatutnya masing-masing melaksanakan maksud syarak semampu mungkin, seperti mewujudkan kebebasan bersuara, keadilan sosial, meningkatkan kualiti hidup, menyemarakkan institusi integriti serta semak & imbang (hisbah) dll semampu mungkin.

Firman Allah S.W.T:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksud:
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..."

[Surat Al-Baqarah 286]

Mantan Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, YAA Dato' Yusof Musa pernah diberi ganjaran serta Anugerah Integriti daripada Kerajaan Negeri susulan berjaya mendedahkan skandal penyelewengan membabitkan hampir RM500,000 di Jabatan Kehakiman Syarie Negeri; kerana pentadbiran Ketua Menteri Lim Gua Eng melaksanakan hisbah dan polisi integriti Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Kerajaan Pulau Pinang juga mengamalkan tender terbuka, seperti dalam penjualan tanah Bayan Mutiara, Bayan Bay serta pemilihan kontraktor bagi projek tiga lebuh raya & Terowong Bawah Dasar Laut dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Jika ada institusi hisbah, skandal pembalakan dalam Kerajaan Negeri Kelantan dan Selangor pun boleh ditangani. Begitu juga dalam kontroversi projek mengecat gerbang dan penukaran Kubah Masjid di Selangor yang mencecah jutaan ringgit.

Sesungguhnya melaksanakan integriti serta hisbah dll berbanding 'cakap-cakap kosong untuk melaksanakan Hudud kononnya dengan sokongan rejim Umno BN, samalah maksud dengan mengutamakan hak manusia berbanding hak-hak Allah.

Telah disimpulkan pendapat daripada kalangan ulama fiqh dan ahli-ahli yang menekuni maksud Maqasid Al-Syariah (مقاصد الشريعة):

ما لا يدرك كله لا يترك جله

Maksud:
Perkara yang tidak dapat diraih semuanya, janganlah ditinggalkan segalanya.

Telah berkata Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi semasa diminta mengulas keutamaan rakyat Mesir selepas menumbangkan rejim Hosni Mubarak tidak lama dahulu:

أفضل تحقيق الحرية على تطبيق الشريعة

Maksud:
Utamakan (usaha-usaha) mencapai kebebasan (rakyat) di atas (usaha-usaha) melaksana syariat (Islam)

الحرية قبل تطبيق الشريعة

Maksud:
Kebebasan sebelum pelaksanaan syariat.

Sesungguhnya Islam agama mudah.

Allah S.W.T. sendiri memberi keutamaan pada kemampuan para hambanya dalam melaksanakan maksud syariah (مقاصد الشريعة), dari perkara berkaitan ibadah sehinggalah urusan keduniaan manusia (politik).

Tiap-tiap hamba-Nya mempunyai kemampuan yang berbeza-beza, maka perbezaan kemampuan masing-masing ini lebih diutamakan dalam membuktikan kasih dan taat kepada Allah S.W.T..

Firman Allah S.W.T :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Wallahu 'alam.


ZAINULFAQAR YAACOB
Blogger / Fotojurnalis

George Town Bandaraya Warisan Dunia UNESCO
Rabu | 3 Mac 2016 | 7.45 pagi

____________
* Teks Usrah AMANAH Kawasan Parlimen Batu Kawan.