Skip to main content

Exco berang rakyat ditipu pegawai perumahan palsu

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kiri), Phee Boon Poh (dua dari kanan), Teh Lai Heng (paling kiri) dan LIm Zheng Young (paling kanan) dan empat mangsa kes penipuan membabitkan pegawai Bahagian Perumahan palsu merakamkan gambar, selepas sidang media di sini tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Tujuh pembeli rumah kos sederhana rendah pagi ini tampil memberitahu bahawa mereka ditipu oleh tiga individu yang mengaku sebagai Pegawai dari Pejabat Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mengulas mengenai hal itu, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Negeri tidak pernah mengenakan apa-apa bayaran awalan sebagai jalan pintas untuk meluluskan permohonan rumah mampu milik semua kategori di The Rise Park dekat Jalan SP Chelliah, Datuk Keramat.

"Jangan bayar kepada sesiapa yang mengaku sebagai Pegawai Perumahan walau sesen pun, jika dijanjikan rumah.

"Nama Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri seakan dicabuli, saya memang tidak boleh terima.

"Saya berharap mereka yang ditipu segera membuat laporan polis dan aduan kepada Kerajaan Negeri sebagai rekod," tegas Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat kepada pemberita di Komtar, di sini.

Tegasnya lagi, hanya Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPEC) memutuskan sama ada satu-satu permohonan perumahan diterima atau sebaliknya, selepas mesyuaratnya sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng kerana merujuk empat mangsa berkenaan pada pejabat exco.

Difahamkan, mangsa hanya mahu dikenali sebagai "Lim" ditipu RM10,000, "Chuah" ditipu RM12,500 serta "Loh" dan "Chow" masing-masing ditipu RM9,300.

MOHD. Fauzi Mohd. Yusof (kiri) menjelaskan ciri-ciri palsu pada surat tawaran unit rumah yang diterima oleh mangsa-mangsa terbabit, pada sidang media bersama-sama Jagdeep Singh Deo (kanan) di sini tengah hari tadi.
Sebelum itu, Pegawai Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri, Mohd. Fauzi Mohd. Yusof turut mendedahkan ciri-ciri palsu pada surat-surat tawaran unit rumah yang diterima oleh mangsa terbabit.

ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Lim Zheng Young (Pengarah Urusan Zubicon Sdn. Bhd. yang memajukan projek perumahan terbabit) turut menyertai sidang media tersebut.

Jagdeep, sehari kemudian merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana berjaya menangkap salah seorang suspek kes penipuan tersebut.

“Apa jua bayaran perlu ada resit rasmi bercetak sama ada dari kaunter di tingkat 3 Komtar, atau mana-mana pejabat kerajaan berkaitan dan bukan di pusat membeli belah seperti (kes penipuan) yang terjadi baru-baru ini,” jelas Jagdeep pada sidang media berasingan.

Jagdeep berkata beliau sendiri turut menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Negeri yang baharu, Dato ' Gafar Abdul Rajab supaya siasatan berwajib diteruskan sehingga kesemua suspek kes penipuan tersebut berjaya ditangkap.