Skip to main content

Tutup penyertaan Anugerah Sekolah Hijau 31 Julai

MAIMUNAH (tengah) ditemani Luciano Oliveira (kanan) dan Teh Pang Eng (kiri), semasa melakukan gimik pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2016 di SMK Berapit baru-baru ini.

BERAPIT – Generasi masa depan diharap akan lebih cakna dengan isu-isu alam sekitar, melalui Anugerah Sekolah Hijau yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) saban tahun.

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, penganjuran anugerah kali ketujuh ini menerima tajaan sebanyak RM32,000 daripada Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd. (Continental).

“Program seumpama ini dapat mendidik generasi pelapis mencintai dan menghargai alam sekitar seperti yang termaktub dalam Pelan Tindakan Local Action 21 (LA 21) MPSP.

“Prinsip LA 21 adalah untuk melahirkan sebuah masyarakat yang sihat serta peka terhadap isu-isu alam sekitar untuk diseimbangkan dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan sosial,” jelas beliau ketika merasmikan Program Anugerah Sekolah Hijau 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Continental, Luciano Oliveira, Pengetua SMK Berapit, Teh Pang Eng serta guru-guru sekolah yang terlibat dengan program ini.

Maimunah turut merakamkan penghargaan kepada Continental selaku penganjur bersama dan penaja utama, sejak Anugerah Sokolah Hijau mula dijalankan pada tahun 2010.

Menurut Maimunah, anugerah tersebut antara lain demi merealisasikan amalan 4R, iaitu Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle dalam kalangan generasi masa depan.

Atas tujuan itu, katanya lagi, MPSP akan memberi anugerah tersebut kepada sekolah yang layak, sebagai pengiktirafan pada usaha mengurangkan sisa buangan, penjimatan sumber. serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menjawab soalan pemberita, Maimunah memberitahu, anugerah ini mendapat sambutan yang baik daripada sekolah-sekolah di Seberang Perai, sejak ia mula dijalankan.

“Saban tahun jumlah penyertaan sekolah sentiasa meningkat...dan saya harap untuk tahun ini, akan ada lebih banyak penyertaan baru,” katanya.

Tambah beliau, setiap sekolah yang menyertai anugerah ini akan dinilai berdasarkan lima kriteria, iaitu perancangan dan pengurusan, amalan sisa sifar, kebersihan dan penghijauan, program inovasi dan kreativiti serta penglibatan komuniti.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Julai 2016 dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 012-4779330 (Chew Eng Seng)/04-3819890 (Kim Tan) atau e-melkan ke eschew@mpsp.gov.my / kim.tan@continental-corporation.com.