24 February 2016

Semua aduan ADUN Berapit selesai, respons MPSP

ROZALI Mohamud (tengah) bersama-sama empat Ahli Majlis MPSP lain, M. Satees (paling kiri), P. David Marshel (dua dari kiri), Michael Tan Cheong Heng (empat dari kiri) dan Jason H'ng Mooi Lye, pada sidang media di sini tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SEBERANG JAYA - Semua isu setempat yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Lydia Ong Kok Fooi menerusi facebook dan akhbar baru-baru ini sebenarnya telahpun ditangani oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), respons Setiausaha Majlis Sr. Rozali Mohamud.

ROZALI Mohamud
"Saya nampak di tapak, apa yang dibangkitkan  telahpun selesai...jalan-jalan yang berlubang pun telahpun selesai (ditampal)," jelas Rozali mewakili Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif  di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini, tengah hari tadi.

Menurut Rozali, Lydia Ong pada 21 Disember lalu memang ada mengadu mengenai beberapa beberapa batang jalan di Berapit berlubang.

Namun katanya, MPSP menerusi emel pada 6 Januari lalu telahpun memaklumkan bahawa kerja-kerja menampal beberapa jalan berkenaan secara berperingkat mulai 7 Januari lalu.

"Pembaikan jalan telah siap pada 21 Februari," jelas Rozali.

Rozali turut memberi penjelasan mengenai rekod kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan yang dilaksanakan oleh MPSP di dua kawasan perumahan, sebagai maklum balas kepada kenyataan Lydia Ong.

Ujarnya, Taman Bukit Indah mempunyai satu taman permainan dan satu taman rekreasi awam, manakala, di Taman Sri Bukit Indah pula terdiri oleh tiga buah taman permainan.

"Perkhidmatan pelupusan sampah tiga kali seminggu, iaitu (dijadualkan) pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

"Kerja-kerja pembersihan awam sekali dalam seminggu dan pemotongan rumput dijadualkan setiap 21 hari (tiap-tiap bulan.

"Pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan di taman rekreasi awam tersebut dibuat setiap 60 hari bagi satu pusingan, (dengan) kerja-kerja meliputi pemotongan rumput, penyapuan jalan dan pembersihan pokok-pokok reneh," jelas Rozali.

Penjelasan Rozali itu sekaligus menjawab kenyataan Lydia Ong di facebook serta dilaporkan dalam dua akhbar berbahasa Cina baru-baru ini. 

Akhbar China Press pada 21 Februari lalu antara lain melaporkan, "Aduan jalan rosak tidak dapat diselesaikan. Ong Kok Fooi adu MPSP tidak nampak, tidak dapat dengar dan tidak dapat laksana."

Akhbar Sin Chew Daily pada 22 Februari lalu pula melaporkan, "Jumaat buat aduan, Sabtu jalan siap dibaiki. Aduan YB Ong melalui Facebook adalah lebih berkesan?"

Bercakap pada sidang media sama, para Ahli Majlis MPSP lain turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan di Berapit, dengan mengharapkan sokongan sebagai 'satu pasukan' daripada Lydia sendiri kelak.

"Ada tujuh atau lapan buah flat di Taman Permata di dalam KADUN Berapit umpamanya, tetapi MPSP tidak boleh membuat pembersihan di sana disebabkan tiada JMB (badan pengurusan bersama) dan MC (jawatankuasa pengurusan) tidak wujud sejak 20 tahun lalu.

"Adakah YB mengambil inisiatif untuk menubuhkan JMB supaya menjaga kawasan itu.

Bagi saya, Taman Bukit Indah tidak 'seteruk' kawasan itu (flat Taman Permata) jika YB membantu tubuh JMB untuk jaga kebersihan di kawasan itu.

"Jika YB ADUN Berapit selalu kata kawasannya tak bersih, YB perlu saling bekerjasama dengan MPSP untuk meningkatkan pengetahuan penduduk-penduduk di kawasannya," jelas Ahli Majlis MPSP, P. David Marshel.

Ahli Majlis MPSP, Micheal Tan Cheong  Heng turut melancarkan risalah kempen "Asingkan Sampah Anda", sebagai persiapan ke arah pelaksanaan dasar pengasingan sisa di punca yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun ini. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus