Skip to main content

Rancangan bina bangunan tiga tingkat Osram RM15.5 juta diluluskan

ROSLI Jaafar (tiga dari kiri) dan Dr. Roland Mueller (lima dari kiri) saling berjabat tangan dan menukar dokumen perjanjian berwajib, sambil disaksikan oleh Ketua Menteri (empat dari kiri) serta pemimpin Kerajaan Negeri lain di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) meluluskan rancangan pembinaan bangunan tiga tingkat industri bernilai RM15.5 juta, untuk disewa oleh firma Osram dari Jerman.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, di bangunan tambahan mempunyai keluasan lantai 54,252 kaki persegi tersebut akan ditempatkan pejabat Osram, makmal untuk projek inivasi rekacipta dan realisasi teknologi penjahayaan firma tersebut.

"Pembesaran ini akan memberi tumpuan pada perniagaan dan teknologi berkemahiran tinggi, sekaligus akan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bakat Pulau Pinang," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut melahirkan penghargaan kepada Osram kerana terus setia mengembangkan industri pelaburannya di negeri ini sejak tahun 1972.

Dengan pelaburan firman dari Jerman berkenaan, katanya lagi, sekaligus membawa manfaat kepada negeri, dari aspek meningkatkan pengalaman dan kemahiran pekerja tempatan.

"Kerajaan negeri melalui agensi pelaburan utama kami, investPenang dan PDC, telah secara proaktif bekerja bersama-sama dengan Osram untuk memudahkan rancangan pengembangan.

"Pulau Pinang juga akan mendapat manfaat daripada memperluaskan asas pembekal tempatan Osram melalui pengenalan teknologi pembuatan baru," kata Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Selepas itu, Guan Eng menyaksikan majlis perjanjian pajakan berwajib antara Pengurus Besar PDC Dato' Rosli Jaafar dan Pengarah Osram Opto Semiconductors (M) Sdn Bhd, Dr. Roland Mueller.

Turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian tersebut adalah Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang) dan Ir. Addnan Mohd. Razali (Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP).

Pada sidang media sama, Dr. Roland Mueller berkata, pertukaran kontrak adalah langkah pertama dalam pembinaan bangunan baru, ke arah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Katanya lagi, jika semua berjalan mengikut perancangan, operasi firman di bangunan baru itu dijadual bermula pada tahun depan.

"Bangunan baru itu akan mengukuhkan lagi lokasi Pulau Pinang (firma Osram) kami," katanya, sambil merakamkan penghargaan kepada Guan Eng dan PDC.