Skip to main content

Perjanjian tebus guna 60 ekar tanah didedah 4 Feb., umum Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang

KETUA Menteri Lim Guan Eng (paling kanan) dan Farizan Darus (dua dari kanan) dalam Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Kerajaan Pulau Pinang di Jen Hotel dekat Komtar, di sini. | Foto: FB Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Perjanjian tebus guna 60 ekar tanah berwajib yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri hari ini akan didedah kepada orang awam pada Rabu (esok), 4 Februari, mulai jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang di Tingkat 3 dekat Komtar di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus bagaimanapun berkata, pendedahan dokumen perjanjian yang dimeterai pada 11 November 2011 itu masih tertakluk pada FOI atau Enakmen Kebebasan Maklumat, 2012.

Berdasarkan enakmen itu, katanya, mereka yang ingin melihat dokumen tersebut mestilah terlebih dahulu mengisi borang permohonan tertentu.

FARIZAN Darus pada sidang media, pagi tadi.
"Seperti terkandung dalam garis panduan FOI, kita akan membenarkan mereka melihat dokumen tersebut.

"Dibenarkan membawa pen dan pensel sahaja semasa melihat dokumen tersebut, tidak ada alat perakam atau telefon (pintar) untuk mengambil gambar," jelas Farizan kepada pemberita dekat Hotel Jen di sini, pagi tadi.

Sebelum itu, beliau bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyampaikan ucapan dalam Majlis Perhimpunan Penjawat Awam di sini.

Farizan bagaimanapun memberitahu bahawa, salinan dokumen-dokumen tersebut boleh dibeli dengan kadaran RM10 bagi satu mukasurat.

"Sekiranya ramai, kita akan bataskan tempoh melihat dokumen tersebut," jelas Farizan.

Semalam, Guan Eng dalam sidang media berasingan memberitahu, pendedahan dua dokumen berwajib itu sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri hari ini benar-benar melaksanakan integriti.

"Kami (Kerajaan Negeri) telah mendapat jawapan daripada dua lagi pemegang konsesi tambakan laut, iaitu Ideal Gim dan Ivory Tropicana, mereka bersetuju (untuk) mendedahkan surat perjanjian mereka," jelas Guan Eng sambil menunjukkan surat perjanjian konsesi berwajib kepada pemberita.

Guan Eng bagaimanapun memberitahu, pemegang-pemegang surat perjanjian konsisi tambakan laut yang lain menolak permohonan Kerajaan Negeri untuk mendedahkan dokumen berwajib masing-masing kepada orang awam.

"Selepas mendapat pandangan daripada Penasihat Undang-Undang, maka, Kerajaan Negeri terpaksa akur kepada keputusan mereka, dan tidak mendedahkan surat perjanjian ini, kerana projek tambakan laut konsesi ini telah diputuskan (dimeterai) bukan oleh Kerajaan Negeri sekarang, tetapi oleh kerajaan lama (era Barisan Nasional).

"Kita (Kerajaan Pulau Pinang hari ini) memang tidak boleh buat apa-apa, tetapi, projek tambak laut yang diluluskan sekarang, tentu kita (Kerajaan Negeri) dedahkan," jelas Guan Eng yang juga Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri hari ini meluluskan telah projek tebus guna tanah seluas 60 ekar sahaja.

Katanya, 35 ekar tambakan laut di Bayan Mutiara diluluskan kepada Ivory Tropicana, untuk kegunaan pembangunan bercampur.

25 ekar (24.79 ekar) lain di Bayan Bay, katanya lagi, diluluskan kepada Ideal Gim Venture, untuk kegunaan pembangunan bercampur juga.

Difahamkan, 2,100 unit perumahan seluas 11.79 ekar di Bayan Bay, dengan 11 ekar sebagai rizab Kerajaan Negeri dan 2 ekar lagi untuk kegunaan infrastruktur.

Bagi kelulusan itu, Kerajaan Negeri akan menerima satu kompleks sukan moden yang bertaraf antarabangsa untuk kegunaan awam.

Kompleks itu terdiri oleh Velodrome Semi Covered, trek basikal sepanjang 250 meter serta 3 unit gelanggang bola keranjang, gelanggang bola tampar, kolam renang berserta diving pool.

Tidak cukup dengan itu, turut dibina untuk kegunaan awam adalah sebuah padang bola sepak di Persiaran Bayan Indah, petak “A” bersebelahan Lot 15739, Mukim 12, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

Penjelasan Guan Eng itu sekaligus menjawab dolak-dalih pembangkang Pulau Pinang, yang mencabar Kerajaan Negeri hari ini supaya mendedahkan semua perjanjian konsesi projek tebus guna tanah, termasuk yang diluluskan sebelum tahun 2008.

Guan Eng menegaskan, langkah mendedahkan perjanjian konsesi tanpa persetujuan berwajib mampu mengakibatkan Kerajaan Negeri berdepan dengan risiko saman mencecah angka bilion ringgit.

Sebelum tahun 2008, Kerajaan Pulau Pinang yang masih dikuasai oleh Barisan Nasional meluluskan kira-kira 3,241 ekar projek tebus guna tanah.

Itu, termasuk 940 ekar tanah di Tanjong Tokong yang diluluskan kepada satu pihak pada tahun 1999, dengan harga serendah RM1 untuk sekaki persegi.